Header Ads

Warga Hong Kong turun ke jalanraya tuntut pilihanraya bebas

Puluhan ribu warganegara Hong Kong telah berkumpul di tengah-tengah bandaraya berkenaan bagi menuntut ruang demokrasi yang lebih luas. Ketegangan mula tercetus selepas pemerintah di Beijing memutuskan untuk membatalkan pilihan raya umum di kawasan bekas tanah jajahan Inggeris itu.

Pada Sabtu, jumlah penunjuk perasaan semakin merebak, hampir 24 jam rusuhan tercetus sehingga polis terpaksa menggunakan semburan lada untuk menyuraikan penunjuk perasaan di sekitar pejabat pusat pemerintahan wilayah berkenaan. Menurut laporan, polis berjaya menangkap lebih dari 60 orang penunjuk perasaan.

Seorang penunjuk perasaan berkata, dia menyertai penunjuk perasaan itu untuk menjamin masa depan yang lebih baik untuk anaknya yang berusia 5 tahun yang kelihatan bersamanya sambil mengenakan kacamata renang untuk melindungi diri dari semburan lada pihak polis.

"Jika kita tidak berdiri (tunjuk perasaan), kita akan bimbang tentang masa depan dia (anak). Dia (anak) tidak boleh memilih masa depannya sendiri," kata Li, seorang wanita berusia 33 tahun seperti dilaporkan Reuters, Sabtu lepas.

Jumaat lepas, penunjuk perasaan dilaporkan telah melepasi kawasan sekatan pihak keselamatan bagi menyerbu bangunan utama kerajaan di Hong Kong ketika kemuncak perhimpunan menuntut pilihan raya bebas.

Sementara itu, Hospital kerajaan di Hong Kong berkata, 34 orang telah dirawat di hospital itu pada Sabtu selepas tercedera dalam perhimpunan berkenaan.

"Polis telah menggunakan kekerasan untuk menghentikan tindakan yang sah dari para pelajar," kata Benny Tai, salah seorang dari 3 tokoh utama gerakan pro-demokrasi Occupy Central.

Seperti diketahui, Hong Kong telah dikembalikan kepada China oleh British pada tahun 1997 selepas persetujuan bersama disepakati dengan formula yang dikenali sebagai "1 negara, 2 sistem", dengan tahap autonomi dan kebebasan yang lebih banyak berbanding di tanah bersar China.

Tetapi pihak pemerintah China di Beijing pada bulan lepas telah menolak tuntutan rakyat Hong Kong untuk mengadakan pemilihan pemimpin Hong Kong bagi tahun 2017 secara bebas.
Dikuasakan oleh Blogger.