Header Ads

4 kg rambut dalam perut gadis berjaya dikeluarkan

Gumpalan rambut seberat 4 kg berjaya dikeluarkan dari dalam perut gadis oleh pasukan doktor bedah dari Hospital Bishkek.
Penduduk tempatan heboh selepas doktor bedah berjaya mengeluarkan gumpalan rambut bersaiz besar dengan berat 4 kilogram (kg) dari dalam perut seorang gadis di Kyrgyzstan.

Ayperi Alekseeva, seorang remaja berusia 18 tahun dari Batken, Kyrgyzstan itu pada mulanya mengadu sakit perut yang teruk apabila meneguk air setiap kali ingin minum.

Gadis itu dibawa ibu bapanya ke Hospital bandar Batken untuk membuat rawatan, namun dilaporkan doktor kehairanan punca penyakit gadis berkenaan sebelum dirujuk ke Hospital Bishkek.

Selepas menjalani x-ray, didapati ada gumpalan besar rambut di dalam perut gadis berkenaan, sebelum doktor mengambil keputusan melakukan pembedahan bagi mengeluarkannya dari dalam perut Ayperi.

Pasukan doktor bedah hospital berkenaan berjaya mengeluarkan gumpalan rambut seberat 4 kg dari perut Ayperi dan dilaporkan kesihatan Ayperi beransur pulih seperti sedia kala.

Menurut ketua doktor bedah, Bahadir Bebezov berkata, keadaan gadis itu sangat membimbangkan apabila gumpalan rambut bersarang dalam perut gadis itu.

"Apabila kami menerima dia, dia (Ayperi) sukar menelan. Tubuhnya kurus kerana berat badannya turun. Kita terus mengambil keputusan melakukan operasi (pembedahan), satu-satunya cara," ujar Bahadir seperti dilaporkan Dailymail, semalam.

Bahadir turut menjelaskan, keadaan bahagian dalam perut Ayperi pun cukup parah. Perutnya bengkak kerana terkena potongan rambut.

"Sangat teruk di dalam, jadi kita harus cepat-cepat mengeluarkannya", ujar Bahadir lagi.

Gumpalan rambut itu berasal dari rambut atau bulu permaidani yang kerap dimakan Ayperi. Dilaporkan, menjadi rutin harian gadis berkenaan memakan rambut. Selepas pembedahan, gadis berkenaan dilaporkan sudah serik dengan tingkah laku peliknya itu dan berjanji tidak lagi mengulanginya.
Dikuasakan oleh Blogger.