Header Ads

Akta baru perangi keganasan

Kementerian Dalam Negeri bercadang memperkenalkan akta baru bagi memerangi kegiatan keganasan, kata menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.  

Beliau berkata akta yang dicadangkan itu akan memperkuatkan lagi undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Undang-Undang Pencegahan Jenayah (POCA).  

"Dengan penwujudan satu undang-undang baru, maka ia bukan sahaja dapat membanteras, malah akan mencegah pengrekrutan bakal sukarelawan 'jihad' ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Gempur MAGIC anjuran Majlis Belia Selangor dan Biro Tata Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi kelmarin.  


Ahmad Zahid berkata penularan aktiviti kumpulan militan Islam di negara ini perlu dibendung segera terutamanya dengan adanya cubaan merekrut pelajar-pelajar sekolah menerusi laman sosial.  

Menurutnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Unit Pemantauan Media Sosial Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantai laman sosial bagi mengekang kegiatan itu.  

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama dengan ATM juga akan diteruskan untuk berkongsi maklumat sekiranya terdapat sarang-sarang latihan merekrut militan  diwujudkan.

"Kita yakin dapat menangkap lebih ramai lagi dan  mengumpul maklumat-maklumat yang selama ini amat diperlukan bagi menentukan Malaysia tidak dijadikan sarang latihan 'jihadist' untuk dihantar ke Syria, Iraq dan negara-negara berkaitan," kata beliau.  

Menurutnya pertemuan antara Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro(MILF) juga diharap dapat menyelesaikan permasalahan di Selatan Filipina terutamanya di Mindanao, sekaligus mengurangkan atau menyelesaikan masalah pengrekrutan sukarelawan jihad.  

Mengulas mengenai Kedutaan Amerika Syarikat yang dikatakan memberi tekanan kepada Malaysia untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948, Ahmad Zahid berkata mereka harus menghormati sistem politik dan perundangan negara ini.  

"Mereka mesti tahu daripada komitmen kerajaan dan kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga jelas. Mereka tidak harus beri tekanan kepada kerajaan, apalagi memihak kepada mana-mana kumpulan untuk mengatakan  penghapusan satu-satu akta itu adalah terlalu lewat atau tidak diadakan," katanya.  

Dalam perkembangan, lain Ahmad Zahid berkata operasi membanteras kegiatan haram sindiket berpengaruh di kawasan perkampungan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Puala Kuala Sangga di Perak, yang didakwa menjadi lubuk jenayah, akan terus diperhebat.  

Kementerian Dalam Negeri melalui Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) dan Skuad Taktikal Khas serta kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pasukan keselamatan lain akan memberi tumpuan kepada kawasan itu.  

"Mereka bukan sahaja tangkap ikan tetapi ada kemungkinan melakukan penyeludupan barangan daripada luar negara tanpa cukai. Ada kemungkinan mereka  seludup senjata atau dadah dari luar negara menggunakan awak-awak dari negara luar," katanya.  

Menurutnya meskipun APMM kerap kali melakukan operasi membanteras kegiatan haram di perkampungan nelayan, anggota sindiket itu dapat memboloskan diri daripada pihak berkuasa.  

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kawasan-kawasan yang didakwa menjadi lubuk jenayah dan dikatakan 'kebal' daripada tindakan pihak berkuasa.-Bernama

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.