Header Ads

Arak hak warga bukan Islam adalah mengelirukan - ABIM

Amidi Abdul Manan
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyatakan bantahan terhadap satu promosi berkaitan penggunaan arak oleh segolongan rakyat Malaysia yang dinamakan ‘Octoberfest’.

"Untuk perhatian masyarakat, asal usul ‘Octoberfest’ ini adalah dari negara Jerman. Ia merupakan satu pesta meraikan perkahwinan diraja," ujar Presidennya, Amidi Abdul Manan.

Katanya, pandangan bahawa ia perlu dibenarkan kerana ia merupakan hak warga yang bukan Islam adalah kurang tepat dan mengelirukan.

"Wujudkah agama yang membenarkan penganutnya hidup di bawah pengaruh alkohol atau pun membenarkan penganutnya mabuk?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, sama ada Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain agama mahukan penganutnya hidup dengan penuh kesejahteraan.

Oleh itu, ujarnya ‘kemabukan’ yang bermakna hilangnya fungsi akal adalah amat-amat dilarang dalam mana-mana agama.

Justeru, kata beliau justifikasi yang mengatakan bahawa ia perlu dibenarkan bagi mereka yang bukan beragama Islam adalah tidak berasas sama sekali.

Begitu juga, katanya apabila mudarat arak ditinjau dari sudut sains, kesihatan, keselamatan mahu pun sosial.

Tegasnya, ia jelas mengundang lebih banyak mudarat dari manfaat yang boleh diperolehi masyarakat.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.