Header Ads

CEO Total maut dalam nahas jet peribadi di Rusia

CEO syarikat petroleum dari Perancis, Total, Christophe de Margerie, maut dalam kemalangan pesawat di lapangan terbang Moscow pada Isnin selepas jet peribadi yang dinaikinya melanggar kenderaan penyapu salji ketika mahu berlepas.

Menurut penyiasat Rusia, pemandu kenderaan penyapu salji itu dilaporkan berada dalam keadaan mabuk dan tindakannya serta kesilapan pengawal lalu lintas udara, dikatakan menjadi punca kemalangan berkenaan.

Syarikat petroleum ketiga terbesar di Eropah itu mengesahkan kematian ketua eksekutif berusia 63 tahun yang dikenali sebagai "Kumis Besar" kerana misai di wajahnya yang unik dan lembaga pengarah akan mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan itu.

Dipetik dari Daily Business Vedomosti, beberapa jam sebelum kemalangan, De Margerie telah bertemu Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev di kediaman negaranya di luar Moscow untuk membincangkan berkaitan pelaburan asing di Rusia.

Dalam satu kenyataan berkaitan tragedi, Total menyatakan De Margerie meninggal selepas jam 10 malam (waktu Paris) pada 20 Oktober dalam kemalangan pesawat peribadi di lapangan terbang Vnukovo, Moscow, selepas berlanggar dengan kenderaan penyapu salji.

"Empat orang ditemui terkorban di tempat kejadian kemalangan, termasuk tiga anak kapal dan Christophe de Margerie." kata Total, Selasa (21/10).

Jurucakap Lapangan Terbang Vnukovo menyebut bahawa jet penerbangan perniagaan Falcon Dassault jatuh ketika bersiap sedia untuk berlepas ke Paris.
Dikuasakan oleh Blogger.