Header Ads

Datuk Bandar mati ditembak isteri sendiri

Datuk Bandar Bell Gardens di pinggir California telah ditembak di rumahnya dan dilaporkan mati dalam perjalanan ke hospital.

"Datuk Bandar Daniel Crespo, 45, pada mulanya didapati bertengkar dengan isterinya, Levette Crespo," kata Timbalan Sheriff Los Angeles County, Crystal Hernandez seperti dipetik dari CNN, semalam.

Sementara itu, isterinya telah ditahan untuk siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan kerana disyaki telah menembak suaminya.

"Dia dilaporkan telah menembak suaminya, selepas anak lelaki pasangan itu yang berusia 19 tahun cuba untuk campur tangan," kata pegawai itu.

Menurut laporan Huffington Post, kejadian tembakan itu berlaku di blok 6300 East Gage Street kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan.

Menurut jurucakap Jabatan Sheriff Los Angeles County, Nicole Nishida, Daniel didakwa menumbuk muka anaknya sebelum isterinya mengambil pistol dan didakwa melepaskan tembakan ke arah lelaki berusia 45 tahun itu.

"(Tembakan) beberapa kali di tubuh bahagian atas," jelasnya.

Menurut laman web bandar bandar berkenaan, Daniel telah berkhidmat dengan kerajaan tempatan sejak 2001. Bandar Bell Gardens terletak kira-kira 10 kilometer ke tenggara pusat bandar Los Angeles.

Daniel Crespo adalah Datuk Bandar Bell Gardens, pinggir bandar Los Angeles dan menjadi ahli majlis lebih daripada satu dekad. Beliau berkahwin dengan kekasih sekolah tingginya pada tahun 1986.

Sebelum kejadian menembak, Daniel juga bekerja sebagai pegawai akhlak (pengiring tahanan dan bekas tahanan), di samping menjadi Datuk Bandar.
Dikuasakan oleh Blogger.