Header Ads

Diesel naik 20 sen, kadar tambang baru bas ekspres perlu disegerakan - Pembawa

Walaupun lega dengan pengumuman Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dalam perancangan untuk menetapkan kadar tambang baharu bas ekspres, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) menuntut agar janji itu ditunaikan segera.

Presidennya, Tajudin Mohamad Yunus berkata, kadar tambang baharu perlu diumumkan segera berikutan pengurangan subsidi diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa Khamis lalu.

"Kita berasa lega dan menyambut baik maklum balas SPAD mengenai perkara itu tetapi kita harap tunaikanlah segera janji itu. Ini soal hidup mati pengusaha bas. Jika dibiarkan, kita akan lingkup," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau, pengurangan subsidi diesel sebanyak 20 sen menyebabkan ada syarikat yang terpaksa menanggung kenaikan kos sebanyak RM60,000 sebulan kerana operasi bas ekspres memerlukan sekitar 300,000 liter diesel sebulan.

"Kita terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih tinggi kerana setiap bas hanya diberikan subsidi minyak bagi perjalanan sehingga 600 kilometer (km) setiap hari. Jika lebih daripada itu, pengusaha bas akan bayar ikut harga baharu iaitu RM2.20 seliter.

"Bayangkan jika ada bas yang membuat perjalanan sehingga 1,000 km setiap hari. Sudahlah kos sedia ada yang ditanggung tinggi, mereka terpaksa pula bayar diesel  dengan harga tinggi. Ini sudah tentu membebankan lagi mereka," katanya.

Beliau berkata, pengusaha bas ekspres bukan sengaja mendesak agar tambang bas dinaikkan sebanyak 20 peratus tetapi menyifatkan ia kadar yang munasabah selepas mengambil kira pelbagai perkara.

"Kita bukan suka-suka nak naikkan tambang tapi ia dilakukan bagi menampung pelbagai peningkatan kos. Kita ada banyak komitmen... kita perlu bayar kos bahan api, gaji pekerja, penyelenggaraan, alat ganti bas dan juga bayaran ansuran bulanan," katanya.

Tajudin yang juga Pengurus Utama Ekspres berkata, satu kadar tambang baharu yang lebih munasabah perlu disegerakan memandangkan pengusaha bas ekspres masih menggunakan tambang yang dinaikkan buat kali terakhir lima tahun lalu.

"Lima tahun satu tempoh yang agak lama... pelbagai tekanan sudah dialami pengusaha bas sepanjang tempoh itu. Saya harap kenaikan tambang diumumkan segera supaya pengusaha bas ekspres dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang," katanya.

Pada Jumaat, SPAD meminta syarikat pengusaha bas ekpres supaya bersabar dan menunggu pengumuman kenaikan kadar tambang baharu sebaik semua urusan berkaitannya selesai.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kenaikan harga diesel berkuatkuasa Khamis berikutan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen menyebabkan SPAD perlu menyemak semula dokumen kadar tambang bas ekspres sedia ada."Memorandum daripada Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) sudah saya diterima.

Kami sedang menyemak kadar tambang sedia ada bagi memastikan industri ini terus berkembang sejajar dengan Pelan Transformasi Kerajaan."Jadi kita minta semua supaya bersabar kerana perkara ini melibatkan banyak pihak. Pengumuman mengenainya akan dibuat nanti," katanya kepada mStar Online tanpa mahu memberi sebarang jangkaan masa mengenai pengumuman itu.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.