Header Ads

Ibu dua anak bimbang keluar rumah selepas insiden anti-Islam di Sydney

"Saya mempunyai seorang rakan yang diludahi": Sara bimbang untuk keluar di khalayak ramai. - Photo Sydney Morning Herald.
Sara, ibu kepada dua anak di Revesby, mengaku rindu ketika di mana dia dapat memandu dengan tingkap terbuka, mengajak anak-anaknya main di taman. Namun kini tidak lagi, bahkan takut untuk keluar rumah, selepas beberapa siri insiden anti-muslim di Sydney, Australia.

"Saya banyak membaca laporan rakan-rakan di Facebook tentang bagaimana mereka diperlakukan tidak baik," kata Sara seperti dipetik dari Sydney Morning Herald, Jumaat lalu.

Dia menceritakan tentang seorang temannya yang diludahi di sebuah stesen, minggu lepas.

Wanita berusia 29 tahun yang memakai tudung itu mengaku tidak berani lagi mengajak anak-anaknya yang berusia enam bulan dan tiga tahun untuk keluar ke tempat awam, terutama selepas menyaksikan rakannya dicerca dan dihina secara lisan kerana memakai jilbab.

Jika dia mahukan sesuatu dari kedai, suaminya yang akan membelikan.

Sementara, jika terpaksa keluar rumah bersama anak-anaknya, Sara akan menutup tingkap kereta dengan rapat dan akan memasang radio dengan kuat kerana bimbang ada yang akan menjeritkan sesuatu dan akan didengari oleh anak-anaknya.

"Dilukai secara fizikal akan menakutkan, namun jika anak-anak saya mendengar sesuatu yang bernada kebencian itu akan membuatkan mereka takut. Saya tidak mahu anak-anak saya menjadi trauma kerana cercaan daripada seseorang," jelas Sara.

Sara yang bekerja sebagai penyelidik dalam bidang kesihatan itu juga mengaku sukar untuk menimbang menggunakan pengangkutan awam.

Insiden anti-muslim makin menjadi-jadi dalam beberapa bulan terakhir, terutama selepas status keselamatan dipertingkatkan dan undang-undang anti-keganasan yang baru dikuatkuasakan.

Polis Campsie, Paul Albury, berkata media sosial telah menjadi tempat berkembangnya kebencian dan wanita yang menjadi sasaran dari sentimen negatif berkenaan.

"Sasarannya wanita, di mana itu sangat membimbangkan," kata Albury.

Polis menahan seorang lelaki berusia 54 tahun, pada Sabtu lalu, kerana meninggalkan mesej rasis dan kebencian terhadap telefon dua organisasi muslim di Campsie. Sebelumnya polis juga menahan seorang lelaki yang melakukan ejekan lisan terhadap dua muslimah di Newcastle.

Dilaporkan terdapat sekurang-kurangnya 30 serangan terhadap umat muslim di Australia, sebahagian besar adalah terhadap muslimah, ia berlaku selepas tiga minggu pihak polis Australia menjalankan operasi serbuan terhadap mereka yang didakwa sebagai ahli dan penyokong militan Negara Islam (ISIS) di Iraq dan Syria.

Kini sejumlah kelompok muslim mula memikirkan perlu ada pengawalan terhadap wanita muslimah yang hendak membeli-belah. Pemimpin komuniti muslim Australia telah memberi amaran kepada polis bahawa insiden akan terus meningkat jika tiada tindakan dan penyelesaian dilakukan terhadap diskriminasi yang dihadapi.
Dikuasakan oleh Blogger.