Header Ads

Kedah bawa bekalan selesa ke final Piala Malaysia

Kedah sudah meletakkan sebelah kakinya ke final Piala Malaysia 2014 selepas menundukkan Pahang 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Darul Aman malam ini.

Kedah yang menggunakan sepanuhnya kelebihan beraksi ditempat sendiri, dilihat mudah menjinak pasukan pasukan pilihan dari pantai timur itu apabila beraksi begitu konsisten sepanjang 90 minit perlawanan.

Skuad Lang Merah meraih gol seawal minit ke-9 apabila pemain import dari Korea Selatan, Namkung Woong mencuri tumpuan penyokong dengan menjaringkan gol menerusi sepakan padu jarak jauh.

Stadium sekali lagi gamat dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Muhammad Farhan Roslan tampil menyumbang gol kedua mereka di minit ke-49.

Pahang jelas terdesak untuk mencari gol ditempat lawan. Usaha mereka menerusi permainan terbuka dilihat tidak berhasil lebih-lebih lagi Kedah memperkuatkan pertahanan.

Bagaimanapun Matias Conti berjaya merapatkan jurang dengan di penghujung perlawanan (M90+1) menerusi sepakan percuma.Sedar kedudukan 2-1 masih tidak cukup untuk bekalan Kedah ke Stadium Darul Makmur nanti, mereka terus mempamerkan corak menyerang.

Dengan permainan memasuki masa tambahan 4 minit, usaha mereka akhirnya membuahkan hasil selepas Khyril Muhymeen Zambri berada di kedudukan tepat untuk menyempurnakan bola hantaran daripada rakan di penghujung perlawanan (M90+).

Biarpun berkelebihan 2 gol, namun Kedah masih tidak boleh berasa selesa kerana Pahang dijangka akan memberikan tentangan sengit pada 90 minit kedua nanti.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.