Header Ads

Liwat II: Hari ke-4 semakin suram

Perhimpunan hari keempat penyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini, semakin suram.

Setakat 9.30 pagi, kira-kira 40 orang berkumpul di kawasan itu berbanding semalam yang dianggarkan sebanyak 50 penyokong serta melaungkan 'bebas Anwar' dan 'tolak BN (Barisan Nasional).

Polis kelihatan memantau situasi dari jauh dan tiada sebarang tindakan provokasi yang ditimbulkan penyokong berkenaan.

Kira-kira 500 meter laluan di persekitaran mahkamah dipasang besi penghadang pada sebelah kiri dan kanan bangunan sebagai langkah memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Hari ini, pihak pendakwaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memulakan hujah balas terhadap alasan rayuan pihak pembelaan untuk membebaskan Anwar, 67, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Cuaca di sekitar Istana Kehakiman pada mulanya cerah pada sebelah pagi, berubah kepada hujan pada 10.54 pagi dan menyebabkan penyokong Anwar mencari tempat berteduh di khemah yang dipasang di hadapan mahkamah sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya 2014 (PIIACuF). -Bernama

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.