Header Ads

Media sekular beri gambaran buruk terhadap hukum Islam

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob kesal kerana ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang menolak undang-undang syariat.

Memetik laporan Buletin Online, beliau juga melahirkan kekesalan kerana media barat dan media ‘sekular’ tempatan memberikan gambaran buruk tentang undang-undang hudud dan qisas.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata demikian ketika merasmikan Seminar Penghayatan Hududullah di sebuah hotel di Kuala Terengganu pagi semalam.

Ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Serantau Negeri Kelantan, Datuk Ustaz Nasuruddin Daud.

Bagaimanapun beliau yakin, undang-undang tersebut akan dapat dilaksanakan, walaupun kini terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan.

Katanya, negara Brunei Darussalam dan wilayah Acheh di Indonesia telah pun mula melaksanakan undang-undang Allah itu.

“Walaupun terdapat pelbagai halangan kita percaya satu hari nanti ia akan dapat dilaksanakan. Negara Brunei Darussalam telah pun mengisytiharkan (perlaksanaan undang-undang Islam),” ujarnya pada seminar yang dihadiri kira-kira 600 peserta itu.

Turut menjadi panel yang akan membentangkan kertas dalam seminar tersebut adalah Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Islam Sultan Sharif Brunei, Profesor Dr Abdul Muhaimin Noordin Ayus, Dekan Universiti Islam Negeri Ar-Raniry Aceh, Profesor Dr Alyasa Abu Bakar.

Seminar Penghayatan Hududullah dianjurkan oleh PAS Terengganu bersama dengan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) Islam bertujuan mengekalkan ingatan dan kesedaran rakyat tentang peranan dan sumbangan kerajaan PAS negeri pada 1999 hingga 2004 dalam pelaksanaan syariat Islam di Terengganu serta memberi kefahaman kepada masyarakat tentang syariat Islam.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.