Header Ads

Pahang bertungkus lumus layak ke separuh akhir

Pemain Pahang Mohd Fauzi Rozlan meraikan gol kemenangan bersama rakan pasukan ketika menentang PDRM, malam tadi. - foto Bernama
Juara bertahan Pahang terpaksa bertungkus lumus untuk layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2014 apabila terpaksa menanti sehingga ke masa penghujung untuk mendapat gol kemenangan melalui Mohd Fauzi Rozlan pada minit ke-91 sekaligus menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agregat 3-2 Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 3 Okt lepas, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Ketika perlawanan tampak menyebelahi PDRM apabila skuad 'The Corp' itu berjaya mendahului perlawanan dengan jaringan 1-0 melalui jaringan Mohd Fauzi Abdul Majid pada minit ke-18.

Namun kelekaan pemain PDRM menerima padah apabila dilihat hanya berpuas hati dengan kelebihan satu gol menyebabkan Pahang bertali arus mengatur gerak mengasak kubu tuan rumah mencari gol penyamaan.

Asakan bertali arus pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Zeshan Rehman bijak menanduk bola sepakan penjuru terus menerjah jaring pada minit ke-78, menjadikan kedudukan 1-1, agregat 2-2.

Terkejut dengan gol penyamaan Pahang, Polis cuba bangkit mencari gol kemenangan ketika masa sudah di penghujung selain Pahang turut berhempas pulas mengelak daripada tersingkir dalam baki masa perlawanan yang semakin panas.

Ketika PDRM tampak cuba mengatur gerak, pertahanan import Pahang, Damion Stewart telah mengasari import PDRM, Ashfaq Ali sekaligus dilayangkan kad kuning kedua dan diperintah keluar padang.

Walaupun bermain 10 orang, anak buah Zainal Abidin Hassan tampak tidak mengalah untuk mencari gol kemenangan dan akhirnya Mohd Fauzi Rozlan menjadi hero Pahang apabila berjaya melepaskan rembatan cantik di penjuru kanan pintu gol PDRM menewaskan Mohd Azizon Abd Kadir menerusi gerakan 'satu dua' bersama Mohd Faizol Hussain di minit ke-91.

Pahang layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2014 selepas menang ke atas PDRM dengan agregat 3-2.
Dikuasakan oleh Blogger.