Header Ads

Pahang mudah belasah Kedah 5-0 sekaligus mara ke final

Pemain Pahang meraikan jaringan gol kemenangan mereka layak ke final Piala Malaysia edisi 2014.
Pahang buktikan pasukan Liga Super lebih layak ke final Piala Malaysia apabila membelasah pasukan Liga Perdana, Kedah 5-0.

Bagi Kedah, terlalu yakin dengan bekalan agregat 3-1 ketika perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman pada 20 Oktober lalu akhirnya memakan diri apabila dengan mudah dibelasah Pahang 5-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi sekaligus layak ke final Piala Malaysia dengan agregat 6-3.

Pahang hanya perlu 37 minit dengan aksi memukau memadam agregat selesa Kedah 3-1 apabila meledak 4 gol tanpa balas di babak pertama perlawanan separuh akhir kedua.

Gol-gol Pahang dijaringkan oleh Mathias Conti di minit ke-4 sebelum Gopinathan memadam agregat 3-3 di minit ke-26. Import berbisa Pahang, Conti meletak Pahang di depan secara agregat 4-3 sebelum melengkapkan hatriknya di separuh masa pertama dengan jaringan ketiga di minit ke-37 meletak Pahang pula selesa di depan dengan jaringan 4-0 (agregat 5-3).

Perlawanan babak kedua bermula, rentak permainan Kedah tenggelam dengan aksi 'come back' anak buah Zainal Abidin Hasan yang dilihat begitu rakus membolosi kubu lawan tanpa belas kasihan.

Pahang terus garang apabila Gopinathan melengkapkan jaringan kedua peribadinya malam ini dengan menjaringkan gol kelima Pahang di minit ke-74 meletak Pahang terus selesa 5-0.

Keputusan 5-0 kekal hingga ke penghujung permainan sekaligus menobatkan Pahang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2014 dengan kemenangan agregat 6-3.

Di perlawanan akhir, Pahang akan bertemu samaada Felda United atau JDT yang akan bertemu di separuh akhir kedua di Larkin. Perlawanan separuh akhir pertama, Felda menang 4-3 ke atas JDT.
Dikuasakan oleh Blogger.