Header Ads

Pakar: Gagal ujian doping bukan kerana suntikan

“Bukan kerana suntikan sel induk (stem cell) yang menyebabkan Datuk Lee Chong Wei gagal ujian doping.”Itu penjelasan diberikan seorang pakar perubatan Institut Sukan Negara (ISN) yang enggan namanya didedahkan.

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan adalah memeriksa suntikan diambil Chong Wei selepas dia mengalami kecederaan paha dan bergelut untuk pulih menjelang saingan Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

“Saya rasa kita perlu lakukan carian di Internet adakah suntikan sel induk diambil itu mampu bertahan lama hingga ke Kejohanan Dunia,” katanya.

Pakar itu memberitahu, beliau mengandaikan suntikan sel induk itu tidak akan bertahan terlalu lama hingga menyebabkan Chong Wei gagal ujian doping.

“Mungkin ada sesuatu yang diambilnya ketika kejohanan itu, tapi saya rasa ia juga tidak ada kaitan dengan ubat tahan sakit.

“Biasanya ubat tahan sakit tidak mempunyai dadah perangsang prestasi dan itu bukan masalah ujian air kencing Sampel A Chong Wei positif,” katanya.

Ujarnya, selepas ujian doping, mereka yang bertanggungjawab akan bertanya kepada atlet diuji sama ada dia mengambil sebarang ubat ketika beraksi di mana-mana kejohanan.

“Kini kita tidak tahu sama ada Chong Wei membuat prosedur pengesahan mengambil sebarang ubatan atau tidak,” katanya.

Kelmarin, salah seorang rakan terdekat Chong Wei membuat pengakuan pemain nombor satu dunia itu tidak mengambil dadah terlarang sepanjang menyertai Kejohanan Dunia.

Chong Wei memberitahu rakannya itu bahawa dia hanya melakukan suntikan sel induk sebanyak tiga kali dan tidak mengambil sebarang ubatan lain ketika di Copenhagen.

Lebih memeranjatkan rakan pemain nombor satu dunia itu memberitahu dia mengesyaki doktor yang memberikan suntikan itu kepada Chong Wei mencampurkan bahan terlarang ketika melakukan suntikan itu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 dan 2012 itu melakukan suntikan sel induk itu di salah sebuah hospital swasta.
Dikuasakan oleh Blogger.