Header Ads

Perumahan dan pendidikan jadi prospek utama Belanjawan Selangor 2015

Belanjawan Negeri Selangor 2015 akan menumpukan prospek pembangunan perumahan dan pendidikan rakyat.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata rizab simpanan negeri berjumlah RM3.3 bilion itu akan dibelanjakan bagi mencapai penumpuan itu, lapor Selangor Kini.

“Kita akan lebih menumpukan kepada program pembangunan kepada rakyat. Sebagai contoh seperti infrastruktur, pembangunan, kediaman rakyat.

“Penumpuan utama juga diberikan kepada perumahan dan pendidikan,” katanya kepada media di majlis sambutan Aidiladha bersama rakyat di Hulu Klang.

Azmin bagaimanapun menambah pentadbirannya masih memperhalusi beberapa perkara lain menyentuh kebajikan rakyat untuk dimasukkan dalam belanjawan itu nanti.

Katanya, perbincangan terakhir memuktamadkan agenda belanjawan ini akan diadakan Rabu depan.

Belanjawan Negeri Selangor 2015 akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bersidang November ini.

Menyentuh program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang telah dijalankan sejak tahun 2008, Azmin mahu meneruskan pelaksanaan program itu dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Yang penting setiap dana di peringkat negeri itu mesti dibelanjakan untuk kepentingan rakyat Negeri Selangor tetapi ia mestilah dalam bentuk pembangunan dan kebajikan Negeri Selangor.

“Maka program sedia ada akan diteruskan dan ia akan ditambah baik sekiranya ada keperluan berbuat demikian,” tegas beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.