Header Ads

Teori baru: Pesawat MH17 ditembak dari udara

Para pendakwa di Belanda memberi gambaran kemungkinan muncul teori baru penyebab jatuhnya pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine, iaitu ditembak dari udara oleh pesawat lain.

Sebelum ini dipercayai bahawa pesawat Boeing 777 itu ditembak peluru berpandu dari bawah (bumi). Kerajaan Rusia telah membantah dakwaan itu sambil berulang kali mengatakan pesawat berkenaan ditembak pesawat tentera Ukraine berdasarkan bukti radar yang mereka miliki, namun dinafikan oleh negara-negara Barat.

Dalam wawancara yang dimuat dalam majalah Jerman Der Spiegel pada Isnin, Jaksa Fred Westerbeke mengatakan Belanda akan meminta Moscow memberi maklumat yang menyokong teori adanya pesawat Ukraine berhampiran MH17 sebelum tragedi.

"Berdasarkan maklumat yang ada, penembakan oleh peluru berpandu darat ke udara adalah senario yang paling mungkin, namun kami tidak menutup mata jika kemungkinan bahawa penyebabnya adalah hal lain," ujarnya seperti dipetik dari Der Spiegel.

"Kami bersedia meminta maklumat dari Moscow ... termasuk data radar yang mahu digunakan Rusia bagi membuktikan bahawa sebuah pesawat jet Ukraine terbang berdekatan," tambahnya.

Beberapa hari selepas tragedi pada 17 Julai itu, Amerika Syarikat mengatakan mereka mempunyai bukti bahawa pesawat penumpang itu jatuh disebabkan peluru berpandu yang dilancarkan dari darat oleh pemberontak sokongan Rusia yang menguasai wilayah timur Ukraine.

Laporan dari badan keselamatan Belanda atau Dutch Safety Board menujukkan adanya sejumlah pesawat jet yang berada di jalur penerbangan MH17, namun tidak ada pesawat tentera yang boleh menembak.

Pesawat MH17 ketika itu mengangkut 298 orang dan semuanya terkorban, lebih dari dua pertiga penumpang adalah warga Belanda.

Pihak berkuasa Belanda yang menyiasat ​​kes ini berdepan kritikan keras dari keluarga mangsa kerana sehingga sekarang tidak ada perkembangan positif dalam mencari pihak yang bertanggungjawab.
Dikuasakan oleh Blogger.