Header Ads

Windows 10 diperkenal ganti Windows 8

Versi terkini sistem operasi Microsoft akan dikenali Windows 10, sejajar keputusan syarikat itu untuk melangkau versi ke-9 bagi memperlihatkan kepada pengguna penekanan kepada peranti mudah alih dan perkhidmatan internet.Versi sedia ada iaitu Windows 8, sering dipersendakan pengguna kerana memperkenalkan terlalu banyak perubahan radikal.

Justeru, Microsoft menampilkan kembali beberapa aplikasi tradisional sekali gus menjanjikan Windows 10 akan lebih mudah digunakan tidak kira versi mana yang digunakan sekarang.

Sebagai contoh, menu pemula (start) dalam Windows 10 akan kelihatan sama seperti yang ditemui pada Windows 7 tetapi penampilan kekotak pemula akan kelihatan seperti yang ditemui pada Windows 8.

Naib Presiden Korporat (Kumpulan Sistem Operasi), Joe Belfiore, berkata Windows 10 akan membolehkan pengguna kemudahan penggunaan seperti Windows 7 tetapi menikmati pelbagai kelebihan yang ada pada Windows 8.

Microsoft membuat previu bagi versi terkini Windows pada malam 1 Oktober di San Francisco yang disasarkan kepada pelanggan perniagaan sebelum keesokannya, syarikat perisian tersohor itu menawarkan previu Windows 10 kepada pengguna terpilih.Syarikat itu merancang mengumumkan butiran dan spesifikasi untuk pengguna individu awal tahun depan diikuti dengan pelancaran rasmi Windows 10 pada pertengahan 2015.

Penganalisis berpendapat kejayaan versi terkini Windows sangat penting kepada Microsoft dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu syarikat itu, Satya Nadela yang mesti menunjukkan kepada pasaran bahawa Microsoft boleh menerima dunia peranti mudah alih tanpa mengorbankan pengalaman perkomputeran tradisional.

Perisian terbaharu ini menzahirkan percubaan untuk berundur daripada rekaan radikal yang mungkin tidak disenangi pengguna komputer peribadi (PC) seperti yang terjadi ketika Windows 8 diperkenalkan dua tahun lalu.

Bagaimanapun, ia bukanlah peralihan sepenuhnya daripada sasaran Microsoft untuk merapatkan jurang antara PC dan peranti mudah alih kerana versi terkini Windows masih mempunyai fungsi skrin sesentuh dan iltizam untuk mewujudkan pengalaman penggunaan tanpa batasan bagi pengguna Windows yang beralih antara PC, tablet dan telefon pintar.

Naib Presiden Eksekutif (Kumpulan Sistem Operasi) Microsoft, Terry Myerson, berkata Windows 10 adalah generasi perisian terbaharu sepenuhnya dan seperti dijangka, ia boleh digunakan pada pelbagai peranti daripada telefon pintar hinggalah kepada konsol permainan.

Microsoft kini mempunyai tiga sistem utama iaitu Windows 8 untuk pengguna tradisional dan tablet, Windows Phone 8 untuk telefon mudah alih dan Xbox untuk konsol permainan.

Dengan menyatukan sistem asas yang ada, pembangun perisian akan lebih mudah mencipta aplikasi untuk pelbagai peranti. Pengguna juga akan boleh bertukar peranti dengan lebih mudah tanpa perlu membeli aplikasi sama berulang kali. Bagaimanapun, ini bukanlah bermakna aplikasi akan kelihatan sama pada pelbagai peranti. Pembangun aplikasi masih perlu mengadaptasi aplikasi bagi pelbagai saiz skrin tetapi tidak perlu buat dari mula bagi setiap versi.

Pemuka untuk pengguna pada pelbagai peranti juga mungkin berlainan walaupun ia menggunakan teknologi asas yang sama. Buat masa ini, Microsoft merancang mengekalkan pemuka Xbox sedia ada pada konsol permainan. -AP

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.