Header Ads

2 hari di bilik mayat, warga emas mati hidup kembali

Seorang wanita warga emas dari Poland berusia 91 tahun bangkit semula dari 'kematian'. 'Mayatnya' yang telah pun disimpan dalam peti sejuk selama 11 jam, tiba-tiba bergerak dan mengejutkan kakitangan di bilik mayat.

"Kakitangan di bilik mayat hairan melihat beg mayat bergerak di tempat simpanan sebelum polis melakukan penyiasatan," ujar pihak berkuasa tempatan seperti dilaporkan BBC, semalam.

Warga emas bernama Janina Kolkiewicz itu kini telah pun pulang ke rumahnya selepas mengadu kesejukan. Di rumah, Kolkiewicz menghangatkan badannya dengan semangkuk sup panas dan 2 penkek.

Lapor akhbar Poland, Dziennik Wschodni, keluarga dan doktor yang merawatnya mengaku terkejut melihat kejadian yang berlaku ke atas warga emas itu.

"Saya yakin dia meninggal," kata doktor Wiesława Czyz kepada stesen televisyen TVP.

"Saya terkejut. Saya tidak mengerti apa yang berlaku. Jantungnya berhenti berdegup dan dia tidak lagi bernafas," jelas Czyz.

Sementara itu, Kolkiewicz memberitahu keluarganya bahawa dia berasa seperti biasa dan elok sahaja selepas kembali ke rumah. Dilaporkan tiada berlaku apa-apa perubahan kepada diri warga emas berkenaan.

Kolkiewicz bernasib baik kerana jika terlambat bangkit dari beg mayat, mungkin dia sudah berada dalam kubur.

"Makcik saya tidak tahu apa yang berlaku kerana dia pengidap alzheimer (nyanyuk) peringkat akhir," jelas anak saudaranya, Bogumila Kolkiewicz.
Dikuasakan oleh Blogger.