Header Ads

AFF Cup: Filipina belasah Indonesia 4-0

Filipina mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir dengan penuh bergaya selepas membelasah Indonesia 4-0 dalam aksi kedua peringkat kumpulan A kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam, semalam.

Perlawanan baru sahaja bermula 16 minit, gawang Indonesia sudah pun dibolosi oleh Kapten Filipina, Phil Younghusband melalui sepakan penalti selepas Misagh Bahadora dijatuhkan oleh kapten Indonesia, Firman Utina.

Pemain tengah The Azkals, Manuel Ott terus menggandakan kedudukan buat Filipina melalui sepakan kencang dari luar kotak penalti Indonesia ketika tujuh minit separuh masa kedua bermula.

Pemain kacukan Switzerland, Martin Steuble terus menambah derita Indonesia dengan jaringan ketiga Filipina pada minit ke-68.

Skuad kendalian Alfred Riedl terus hilang arah selepas Rizki Ripora dilayangkan kad merah kerana mengasari Younghusband sekaligus memberi kelebihan buat Filipina untuk menambah gol keempat mereka melalui Robert Gier pada minit-80.

Ini merupakan kekalahan pertama Indonesia sepanjang sejarah pertemuan 23 kali dengan Filipina. Indonesia menang 21 kali, seri dua kali.

Keputusan memalukan dibelasah Filipina ini menyebabkan peluang Indonesia untuk layak ke separuh akhir semakin tipis. Anak buah Alfred Riedl itu perlu menang sekurang-kurangnya 7-0 atas Laos di perlawanan akhir peringkat kumpulan sambil berharap Vietnam kalah kepada Filipina.

Satu lagi keputusan perlawanan yang berlangsung semalam dari kumpulan A, tuan rumah, Vietnam menewaskan Laos 3-0. Perlawanan juga diadakan di Stadium My Dinh.

Kedudukan kumpulan A, Filipina selesa di tempat pertama dengan mengumpul 6 mata, manakala Vietnam di tempat kedua dengan 4 mata. Indonesia hanya mengutip satu mata selepas seri dengan Vietnam dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan dan Laos masih lagi belum mengutip sebarang mata.-WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.