Header Ads

AFF Cup: Malaysia tewas 2-3 kepada Thailand

Barisan skuad kendalian Dollah Salleh menempah laluan sukar untuk layak ke peringkat separuh akhir kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2014 apabila tewas 2-3 kepada juara tiga kali, Thailand dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan B di Stadium Jalan Besar, Singapura, awal malam tadi.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada jam 5 petang namun terpaksa ditangguh sepak mula hampir dua jam lebih disebabkan faktor cuaca.

Harimau Malaya terlebih dahulu di depan apabila Amri Yahyah melakukan rembat di luar kotak penalti pada minit ke-28. Namun Thailand berjaya menyamakan kedudukan melalui pemain gantian Adisak Kraisorn pada minit ke-42.

Sebelum masa kedua tamat, Malaysia berpeluang menambah jaringam namun percubaan Amri sedikit tersasar mengena palang gol walaupun penjaga gol lawan sudah pun tertewas.

15 minit separuh masa kedua bermula, Safiq Rahim melalui gerakan solo di luar kotak penalti berjaya memperdaya benteng pertahanan lawan sebelum merembat deras menewaskan penjaga gol Thailand menjadikan Malaysia di depan 2-1.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila 12 minit kemudian, Charyl Chappuis berjaya menyamakan kedudukan 2-2 apabila pertahanan Harimau Malaya gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ketika berlaku kekalutan depan pintu gol negara sekaligus menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat

Ketika perlawanan tampak berakhir dengan seri, namun kerana tidak belajar melalui kesilapan, sekali lagi benteng pertahanan negara longgar, gagal menyekat serangan Thailand di sebelah kiri pintu gol negara sebelum Adisak sekali lagi merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi di minit ke-90.

Anak buah Dollah Salleh perlu menang ke atas tuan rumah, Singapura pada Sabtu ini jika mahu layak ke peringkat separuh akhir kejohanan.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, tuan rumah, Singapura berjaya mengutip tiga mata selepas menewaskan Myanmar 4-2 dalam aksi kedua mereka.

Kini Thailand unggul di tangga teratas kumpulan B dengan kutipan 6 mata, Singapura di tempat kedua dengan tiga mata manakala Malaysia di tangga ketiga dengan kutipan satu mata. Myanmar turut mengutip satu mata di tangga keempat.-WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.