Header Ads

Anak patung 'anti-Barbie' mula dijual di Amerika

Dia rendah, berambut perang gelap dan memiliki ukuran tubuh yang biasa. Dia juga mempunyai tanda selulit dan jerawat.

Ia dinamakan sebagai anak patung 'anti-Barbie' yang kini sedia dijual di Amerika Syarikat (AS).

Idea sulung yang dicetus pereka grafik berusia 26 tahun, Nickolay Lamm itu dinamakan anak patung 'Lammily' akan mula dipasarkan minggu depan dengan slogan jualan "sederhana itu cantik".

Lamm mendapat idea tersebut selepas dia puas mencari anak patung untuk dibeli sebagai hadiah, namun mendapati semua anak patung kelihatan seperti supermodel.

"Tiada apa yang salah tentang menjadi 'supermodel' tetapi saya berpendapat bahawa semua imej itu boleh memberi tanggapan bahawa seseorang itu tidak sempurna jika tidak kelihatan seperti 'supermodel' tersebut.

"Saya mencipta alternatif untuk mengesyorkan bahawa tidak menjadi masalah jika seseorang itu tidak kelihatan seperi supermodel, dan adalah 'OK' untuk menjadi seseorang yang normal," jelas Lamm.

Lamm menetapkan ukuran fizikal anak patungnya berdasarkan statistik yang diberikan Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan AS (CDC). Maklumat pusat tersebut menyatakan bahawa seorang gadis 'biasa' mempunyai purata ketinggian 163.3 sentimeter (cm), berat 68 kilogram dan ukuran dada 85cm.-AstroAwani
Dikuasakan oleh Blogger.