Header Ads

Angel Di Maria mungkin pindah ke PSG

Pemain tengah Manchester United, Angel Di Maria dilihat masih mengimpikan untuk bermain dengan kelab Paris Saint-Germain (PSG) walaupun pernah terlepas peluang untuk bermain dalam Ligue 1.

Dalam satu temu bual dengan Telefoot, Di Maria mengaku kemungkinan beliau akan berpindah ke ibu negara Perancis jika PSG masih berminat dengannya pada masa akan datang.

"Saya tahu saya masih muda, mungkin saya akan pergi ke PSG suatu hari nanti," kata Di Maria.

Sebelum berpindah ke Old Trafford pada musim panas lalu, Di Maria cuba diburu oleh PSG, namun pemain dari Argentina itu gagal ke kelab dari Perancis itu kerana juara liga 'Ligue 1' itu berdepan hukuman disekat untuk berbelanja oleh UEFA selepas didapati melanggar peraturan Financial Fair Play UEFA. Selain itu, PSG turut didenda 50 juta pounds atas kesalahan itu.

Di Maria memberitahu, masalah sekatan belanja menyebabkan beliau gagal menyertai PSG musim panas lalu dan mempercayai bahawa itu merupakan sebab utama mengapa PSG menarik diri dari mendapatkan tandatangannya.

"Saya rasa PSG berdepan masalah wang dan mereka tidak boleh membeli pemain," kata Di Maria dalam satu temu bual, semalam.

"Ia merupakan sebab utama saya tidak ke sana (PSG). Bermain dalam Liga Perancis adalah pengalaman yang menyeronokkan buat ramai pemain.

"Kini saya berada di Liga Inggeris (EPL). Tapi anda tidak pernah mengetahui, banyak perubahan akan berlaku dalam bola sepak. Anda tidak boleh menyangka di mana anda akan bermain," tambahnya.

"Ini (bermain di EPL) boleh menjadi pengalaman yang baik bagi saya untuk pergi ke Paris (PSG)," tambahnya.

"...mungkin saya akan pergi ke PSG suatu hari nanti. Saya tidak mengetahui bagaimana semuanya akan berakhir."
Dikuasakan oleh Blogger.