Header Ads

Erdogan: Wanita tidak boleh lawan fitrah

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan kenyataan kontroversi menyebut wanita tidak setara dengan lelaki.

Ketua negara itu mendakwa, kumpulan feminisme di negaranya menyalahi fitrah dan menolak peranan sebagai ibu.

"Wanita tidak boleh disetarakan dengan lelaki, kamu tidak boleh mengubah perkara itu dengan melawan fitrah," ujar Erdogan dalam persidangan wanita di Istanbul, seperti dilapor BBC, semalam.

Beliau menjelaskan, kenyataannya itu bukan bermaksud mahu merendahkan wanita, tetapi menegaskan pada hakikatnya wanita sudah ditakdirkan sebagai seorang ibu.

"Di tempat kerja, anda tidak boleh memperlakukan wanita sama dengan lelaki, misalnya antara wanita hamil dengan lelaki," tambah Erdogan.

Bekas Perdana Menteri Turki itu menegaskan, bukan semua kerja yang dilakukan oleh lelaki boleh dilakukan wanita, kerana ianya bertentangan dengan fitrah wanita yang 'halus'.

"Agama kami meletakkan seorang ibu dalam kedudukan yang tinggi. Tetapi kumpulan feminisme tidak memahami perkara itu, mereka menolak fitrah seorang ibu," kata Erdogan.

Oleh itu, menurut pemimpin berusia 60 tahun itu, yang sebenarnya ialah wanita perlu dihormati dan dihargai seperti lelaki, bukan untuk disamaratakan.

"Oleh itu keadilan adalah solusi untuk menyelesaikan permasalahan yang tercetus di seluruh dunia, seperti rasisme, anti-Semitism (Ideologi Nazisme), dan permasalahan lain yang membelenggu wanita," tegas Erdogan.

Sebelumnya Presiden Turki itu meminta wanita untuk mempunyai tiga anak dan tidak melakukan pengguguran. Beliau juga turut mengecam cara melahirkan anak melalui proses pembedahan (secara sengaja).

Bagi kumpulan sekular di Turki, Erdogan merupakan seorang tokoh yang tidak disukai.
Dikuasakan oleh Blogger.