Header Ads

Gaza dilanda banjir

Sebahagian wilayah Gaza yang musnah disebabkan peperangan dengan rejim Israel kini dilanda banjir berikutan hujan lebat selama dua hari.

Hujan dan banjir ini berlaku ketika ribuan penduduk Gaza masih tinggal di tempat perlindungan sementara dan di runtuhan rumah yang rosak dalam peperangan dengan zionis.

Perang dengan tentera zionis pada pertengahan tahun ini telah memusnahkan kira-kira 100,000 rumah di Gaza.

Di kawasan Shejaiya, Gaza, salah satu daripada daerah yang paling teruk diserang kereta kebal zionis, tidak kelihatan adanya pembangunan semula dilakukan, lapor agensi berita AFP.

"Saya amat bimbang dengan cuaca (buruk) namun tidak ada apa yang boleh saya lakukan," kata salah seorang penduduk di kawasan itu, Ibtisam al-ijla, 46 tahun, kepada AFP.

Beliau dan suaminya melarikan diri sehelai sepinggang apabila rejim zionis melakukan pengeboman dan apabila kembali rumahnya rosak teruk.

Namun beliau dan suaminya tidak mempunyai wang untuk menyewa di tempat lain dan terpaksa kembali ke rumah yang rosak.

Sekitar 30% rumah di kawasan dengan 1.8 juta penduduk itu rosak atau musnah.

Dalam perjanjian yang ditaja PBB, pihak rejim bersetuju untuk melonggarkan sekatan lapan tahun bagi membekalkan bahan binaan untuk pembinaan semula kawasan itu.

Tetapi setakat ini, tidak banyak perkembangan dalam pembangunan semula Gaza, kata AFP.
Dikuasakan oleh Blogger.