Header Ads

Hentikan caj arak dalam tiket MAS!

Caj arak yang dikenakan dalam tiket penerbangan MAS perlu dihentikan kerana minuman keras tidak sepatutnya dihidangkan dalam pesawat.

Demikian reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika ditanya mengenai harga tiket MAS yang memasukkan sekali caj arak kepada semua penumpang termasuk yang beragama Islam.

“Saya minta supaya caj tidak dikenakan kepada sesiapa kerana minuman arak ini tidak sepatutnya dihidangkan. Hentikan (caj arak dalam tiket),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dalam sesi Dewan Rakyat mengatakan bahawa harga setiap tiket yang dibeli penumpang turut meliputi caj hidangan dalam pesawat termasuk arak.

[ARTIKEL BARKAITAN: Caj arak: Henti tipu penumpang Islam]

“Memang apabila kita membeli tiket kapal terbang, ia termasuk dengan hidangan yang disediakan dalam kapal terbang,” katanya.

Pendedahan mengejutkan itu mendapat reaksi umat Islam yang khuatir sekiranya mereka turut bersubahat membayar caj untuk arak.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dasar MAS perlu dibetulkan untuk diselaraskan dengan syariah.

Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia, Dr Zaharuddin Abdul Rahman pula berkata, pengguna berhak menggunakan kuasa mereka untuk memboikot MAS jika tidak bersetuju dengan caj arak automatik dalam setiap tiket penerbangan syarikat itu. -sinarharian
Dikuasakan oleh Blogger.