Header Ads

Honda City Hybrid dikenali Honda Grace bakal dilancarkan

Honda City pasaran Jepun dikenali dengan Honda Fit Aria untuk model sedan biasa seperti di Malaysia, ia dikenali Honda City. Paling terbaru, Honda City 2014 yang telah dilancarkan pada Mac lalu dengan penampilan serba baru.

Menjelang penghujung tahun 2014, Honda sekali lagi dijangka akan melancarkan model City baru iaitu varian hibrid segmen sedan. Model hibrid itu akan dikenali Honda Grace dan ianya telah mula diperkenalkan di pameran Tokyo Motor Show pada tahun lepas.

Bagi tujuan pasaran di Malaysia, pihak Honda telah mengesahkan Honda Grace akan memasuki pasaran negara ini namun belum diketahui bila ianya akan dilancarkan.

Penampilan luaran Honda Grace dilihat masih lagi tidak banyak berubah berbanding Honda City 2014, namun ada beberapa perubahan yang menarik termasuk pada bahagian gril hadapan yang kelihatan mempunyai dua bilah chrome selain dilengkapi bar berwarna biru pada bahagian bawah gril seperti model-model hibrid dalam keluarga Honda. Selain itu, Grace turut dipadankan dengan rim bersaiz 16 inci yang mempunyai rekabentuk seperti sebuah kipas angin.

Lampu hadapan, model ini turut menerima perubahan dengan menampilkan lampu projector berkembar dengan menggunakan mentol LED, lampu belakang turut dilengkapi lampu LED. Selain itu, bagi kelihatan lebih sporty, turut disematkan dengan spoiler bersaiz kecil di atas bonet belakang.

Di bahagian dalam kabin, tiada perubahan drastik, namun sedikit perbezaan iaitu menggunakan gear shifter knob bersaiz kecil, sama dengan Honda Jazz Hybrid.

Enjin Honda Grace pun sama seperti Jazz Hybrid, jentera 1,500 cc 4 silinder i-VTEC Atkinson-cycle mengeluarkan kuasa 110 PS dan tork 134 Nm dan tambahan motor elektrik berkuasa 29.5 PS dan tork 160 Nm. Apabila diseragamkan, kuasa maksimanya adalah 139,5 PS dan torknya 294 Nm.

Selain itu, model Grace turut dilengkapi transmisi klac berkembar i-DCD (intelligent-Dual Clutch Drive) 7 kelajuan, berbeza dengan teknologi CVT seperti Honda Jazz RS.

Model hibrid sedan ini bakal dipasarkan di Jepun menjelang Disember ini, namun harga belum dapat dipastikan lagi. Untuk pasaran Malaysia belum ada gambaran awal bila ianya akan dilancarkan.

Gambar Honda City Hybrid (Honda Grace). [Klik gambar untuk zoom atau paparan lebih jelas]

Dikuasakan oleh Blogger.