Header Ads

Jokowi-Obama guna bahasa Indonesia-Inggeris di Beijing

Pertemuan dua hala Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di sebuah Hotel Westin, Beijing, China, semalam dilihat suatu perubahan menakjubkan ke arah meng-antarabangsa-kan Indonesia secara positifnya.

Pertemuan yang diadakan sebelum persidangan Sidang Kemuncak Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) itu dilaporkan menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing. Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pemimpin itu membincangkan tentang usaha kerjasama dalam bidang ekonomi dan keselamatan.

Menurut siaran televisyen SCTV Indonesia semalam, Jokowi dilaporkan bercakap dalam bahasa Indonesia, manakala Presiden Obama bercakap dalam bahasa Inggerisnya dalam pertemuan berkenaan. Walaupun masing-masing menggunakan bahasa kebangsaan mereka, namun dilaporkan komunikasi antara kedua-duanya berlangsung hangat.

Indonesia merupakan salah sebuah negara terbesar di dunia dan mempunyai penduduk muslim paling ramai.

Apakah usaha yang sudah kita lakukan untuk martabatkan bahasa kebangsaan kita?
Di negara kita Malaysia, pihak berwajib perlu mengambil contoh terbaik daripada situasi ini bagi langkah memartabatkan bahasa Melayu yang dilihat semakin terpinggir akhir-akhir ini.

Realitinya, bukan sahaja kita 'malu' menggunakan bahasa kita di persada antarabangsa, bahkan kita juga 'malu-malu kucing' menggunakan bahasa kebangsaan di negara kita sendiri seperti dalam kejohanan sukan, pertemuan dua hala pemimpin atau persidangan peringkat antarabangsa yang diadakan di negara sendiri seperti yang berlaku di negara Jepun dan China.

Usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu di peringkat dalam negara juga seolah-olah 'indah khabar dari rupa' apabila pihak-pihak berkuasa tempatan dilihat cuba meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan sendiri seperti di Putrajaya yang menggunakan nama-nama tempat dan jalan dengan bahasa asing.
Dikuasakan oleh Blogger.