Header Ads

Presiden 'termiskin' di dunia tolak tawaran jutawan beli kereta buruknya

Seorang jutawan Arab Saudi menawar kereta Presiden Uruguay Jose Mujica, VW Beetle keluaran 1987 dengan harga USD 1 juta (RM3.35 juta). Tawaran itu dibuat kerana jutawan yang tidak mahu disebut namanya itu berasa kasihan dan membayangkan Mujica memerlukan wang tunai untuk pelbagai keperluannya.

Namun tawaran itu ditolak secara sindiran oleh Mujica. Beliau menyatakan wang sebanyak itu akan diberikan pada kaum miskin yang tidak mempunyai tempat tinggal untuk membina rumah sederhana.

"Saya berasa tidak layak," katanya ringkas. Mujica menambah satu-satunya alasan beliau mempunyai kenderaan dan tidak mahu menjualnya kerana untuk membuat perjalanan dengan anjing kesayangannya yang berkaki tiga, Manuela.

Mujica menjelaskan dalam diri setiap manusia terdapat keinginan untuk memiliki harta sebagai simbol dan beliau menyatakan tukul dan penyodok peninggalan ayahnya merupakan yang paling berharga.

Presiden Uruguay Jose Mujica melintas depan garajnya, kelihatan kereta VW Beetle dalamnya.
Bekas pemimpin pemberontak itu hidup sangat sederhana di sebuah ladang milik isterinya. Menurut laporan kekayaannya, keretanya itu merupakan satu-satunya harta yang beliau miliki. Mujica mendapat gaji USD 11,000 sebulan. 20 peratus beliau berikan untuk kegiatan partinya dan selebihnya ia disumbangkan untuk kegiatan amal bagi kaum miskin.

Sejak memenangi pilihan raya tahun 2010, Mujica membuat perubahan drastik bagi negaranya. Salah satunya yang paling memberi kesan adalah penegasan berkaitan polisi dadah. Dengan undang-undang yang baru, penguatkuasaan undang-undang Uruguay mempunyai kekuatan yang lebih untuk memberantas peredaran dadah khususnya dari negara jiran Paraguay.

Mujica dikenali sebagai salah seorang pemimpin dunia yang rendah diri (tawaduk) yang sentiasa bersimpati dengan rakyat miskin, mengajarkan kasih sayang, dan memberikan tauladan untuk tidak hidup bermewahan.

Dalam sebuah wawancara dengan Al Jazeera beliau menyatakan jawatan presiden yang disandangnya adalah sebagai pelayan.

"Presiden itu adalah jawatan tinggi dalam kerajaan yang dipilih rakyat untuk menjalankan tugasnya. Dia (presiden) bukan raja, dewa, atau bomoh yang tahu pelbagai macam hal. Dia (presiden) hanyalah pelayan," tegasnya.
Dikuasakan oleh Blogger.