Header Ads

Sister in Islam biadab cabar JK Fatwa Selangor

Ustaz Muhammad Khalil
Kebiadaban Sister In Islam (SIS) mencabar fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor atas kesesatannya kerana berpegang kepada liberalisme dan pluralisme agama adalah bukti bahawa kumpulan tersebut menggerakkan agenda pemesongan ke atas ajaran Islam di negara ini.

"Malah, tindakan SIS itu mencabar institusi Raja Melayu yang menjadi payung naungan Islam di negara ini serta Perlembagaan Negara yang telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan," tegas Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, ia sekaligus juga membuktikan SIS mengetuai gerakan untuk menyebarkan ajaran atas nama Islam secara terpesong tanpa menjejak kepada sumber hukum yang nyata yakni al-Quran, al-Hadith, ijmak ulama dan qias.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS menyokong dan berdiri teguh bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dalam keputusan itu dan merasa kesal atas keengganan SIS untuk akur dengan keputusan tersebut seterusnya bertaubat dan bermuzakarah dengan pihak berwajib bagi membetulkan kesilapan.

Menurutnya, tindakan SIS mencabar fatwa itu ke mahkamah hanya meluaskan sengketa dan degil untuk menjebak masyarakat awam kepada aliran songsang yang dinamakan dengan Islam.

"Inilah satu bentuk pelampau agama yang mesti ditangani pihak kerajaan agar ia tidak membarah dalam masyarakat," katanya lagi.

Beliau menambah, kerajaan boleh mencontohi tindakan tegas Majlis Ulama Indonesia yang memfatwakan haram kepada Jaringan Islam Liberal yang membawa pengaruh sama seperti SIS di Malaysia.

PAS dalam isu itu, ujarnya berpendirian tegas menolak liberalisme dan pluralisme sebagaimana Muktamar Tahunan PAS 2009 meluluskan usul PAS Kawasan Shah Alam yang meminta Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat dan mengharamkan SIS.

Justru, kata beliau Pemuda PAS menasihati masyarakat awam agar berwaspada dengan agenda pihak-pihak tersebut yang sewenang-wenang mentafsir dan membentuk amalan bertentangan dari ajaran Islam.

"Sentiasalah merujuk para alim ulama dalam perkara ini kerana kita tidak hanya akan hidup di dunia, tetapi akan diperhitungkan di akhirat untuk ketetepan hidup kekal sama ada di syurga atau neraka," ujarnya.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.