Header Ads

Tanah rizab Melayu lebih terjamin di bawah PAS

Ahmad Fadhli Shaari.
Statistik yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Kelantan mencatat keluasan tanah rizab Melayu paling besar di Malaysia iaitu seluas 1,308,686.97 hektar.

Statistik itu membuktikan Kelantan yang dipimpin PAS amat menitik beratkan hak tanah rizab Melayu dan mempertahankannya walaupun dituduh sebaliknya.

Tidak seperti Umno yang hipokrit semata-mata bagi meraih sokongan Melayu yang semakin menghilang, konon merekalah pejuang dan parti yang menjadi benteng terakhir yang akan mempertahankan hak bangsa itu.

Pemimpin Umno kelihatan cuba berlakon konon mereka mahu mempertahan tanah rizab Melayu, namun mereka tidak sedar negeri yang tidak diperintah Umno dan BN lebih terjamin kedudukan tanah rizab terbabit.

Ia berjaya dibuktikan oleh PAS di Kelantan, satu-satunya negeri yang mempunyai aset tanah rizab Melayu yang paling tinggi di Malaysia.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata keluasan tanah rizab Melayu di Kelantan tidak pernah susut atau berkurangan.

“Tanah rizab Melayu sentiasa terpelihara sehingga ia kekal antara yang tertinggi di negara ini.

“Sekiranya ada tanah rizab Melayu digunakan ia akan digantikan dengan keluasan yang sama sebagaimana diperuntukkan Fasal 3 Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik dari Harakahdaily.

Dalam Persidangan Wanita dan Pemuda Umno pada Khamis, kedua-dua sayap Umno itu kelihatan terkial-kial mahu tanah rizab Melayu dipertahankan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bimbang kemerosotan tanah rizab Melayu yang jatuh mendadak daripada 50 peratus kepada 12 peratus.

Begitu juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula mahu Peguam Negara diberi kuasa melindungi dan mempertahan tanah rizab Melayu melalui pindaan Enakmen Rizab Melayu.

Ahmad Fadhli berkata, tanah rizab Melayu di Kelantan membentuk 87.6 peratus daripada keluasan keseluruhan tanah di negeri tersebut iaitu 1,493,765.10 hektar.
Dikuasakan oleh Blogger.