Header Ads

Terbongkar: MH17 ditembak jatuh oleh jet Ukraine?

Imej dari Channel One, atas dakwaan MH17 ditembak jatuh oleh pesawat tempur Ukraine. foto BBC
Insiden kemalangan menyayat hati yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada 17 Jun lalu belum lagi selesai. Bukan sahaja jasad mangsa korban belum semua dipindahkan dari lokasi kejadian di Donetsk, yang menjadi medan konflik tentera Ukraine dan pemberontak pro-Rusia, malah siapa sebenarnya yang bertanggungjawab ke atas tragedi berkenaan juga belum dapat dipastikan.

Ketika dunia berdepan tanda tanya yang menuntut jawapan, sebuah stesen televisyen Rusia, Channel One telah menyiarkan gambar 'kontroversi' yang memihak kepada teori Moscow bahawa MH17 ditembak jatuh oleh pesawat tempur Ukraine.

Imej berkenaan didakwa diambil dari satelit Barat menunjukkan sebuah jet tempur telah menembak peluru berpandu ke arah pesawat yang membawa 298 orang penumpang itu.

Sejak awal lagi Moscow percaya bahawa pesawat syarikat penerbangan Malaysia itu dimusnahkan oleh jet tentera Ukraine. Tetapi sebaliknya pihak Barat bertegas bahawa bukti mereka yang ada menunjukkan bahawa pesawat itu ditembak peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak pemisah pro-Rusia dari bawah (bumi).

Imej tersebut telah disiarkan dalam sebuah rancangan berita pada pagi Jumaat waktu Moscow. Berita berkenaan menyebut gambar itu dihantar oleh seorang yang mengaku bernama George Bilt dan mendakwa sebagai lulusan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan sudah dua dekad pengalaman dalam industri penerbangan. Beliau menghantar melalui e-mel kepada Ivan Andriyevsky, Naib Presiden I Kesatuan Jurutera Rusia.

Serpihan pesawat MH17 yang kelihatan berlubang seperti ditembak. foto Getty Images
"Kami mempunyai gambar kontroversi yang mungkin diambil oleh satelit perisikan asing pada detik-detik terakhir pesawat Boeing milik Malaysia yang terbang di ruang udara Ukraine," demikian sebut penyampai Channel One, Dmitry Borisov, seperti dilaporkan Reuters, hari ini.

"Imej berkenaan menyokong versi yang tidak didengari beritanya di Barat," tambah beliau.

Sementara, Ivan Andriyevsky, wakil ketua Persatuan Jurutera Rusia yang mengaku mendapat gambar itu dari George Bilt berkata, pihaknya menganggap gambar tersebut diambil oleh satelit British dan Amerika Syarikat.

"Kami telah mengkaji gambar berkenaan secara terperinci dan tidak menemui perkara yang pelik yang menunjukkan bahawa (imej) itu palsu," kata beliau seperti dimuat BBC.

Tetapi tidak semua bersetuju. Andrei Menshenin, pengulas stesen radio bebas Ekho Moskvy, berpendapat siaran dalam televisyen itu sebagai penipuan. Ia juga menyebut, sudut gambar serangan tidak sepadan dengan lokasi kemalangan.

Bellingcat, sebuah laman web kewartawanan penyiasatan British, menyifatkan imej berkenaan sebagai "satu rekaan semata-mata", apa yang menonjolkan termasuk ada tanda bahawa gambar berkenaan telah disusun sebahagiannya berasal daripada Google Earth, gambar pada 2012.

Isu imej berkaitan MH17 ditembak itu keluar pada malam sidang kemuncak G20 di Brisbane, di mana Presiden Vladimir Putin berdepan kritikan keras dan tekanan dari beberapa pemimpin barat tentang pembabitan negaranya dalam krisis Ukraine. Dilaporkan beliau akan pulang lebih awal dari sidang berkenaan.
Dikuasakan oleh Blogger.