Header Ads

AFF Suzuki Cup: Malaysia bangkit melangkah ke final

Jaringan cantik Norshahrul Idlan yang bijak melambung tinggi bola ke arah gawang yang tidak dikawal penjaga gol tuan rumah
Malaysia menempah tiket ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014 selepas bangkit menewaskan Vietnam 4-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium My Dinh Hanoi, Vietnam, awal malam ini.

Anak buah Dollah Salleh bangkit selepas tewas 1-2 dalam perlawanan pertama separuh akhir di laman sendiri pada 7 Disember lalu. Skuad Harimau Malaya layak ke final dengan agregat 5-3.

Barisan pemain kebangsaan turun dengan yakin apabila bermain dengan permainan tersusun di awal babak apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Inderaputra dijatuhkan pertahanan lawan. Sepakan penalti berjaya disempurnakan dengan baik oleh Safiq Rahim di minit ke-4, menjadikan Malaysia di hadapan 1-0.

Malaysia tampak yakin terus memburu gol apabila Norshahrul Idlan Talha bijak mencuri ruang menyepak tinggi bola hantaran jauh terus ke gawang yang kosong tanpa penjaga gol, menjadi Malaysia selesa 2-0 di hadapan pada minit ke-16.

Ketika alpa mencari gol, Vietnam mendapat tendangan penalti dan akhirnya berjaya disempurnakan oleh Le Cong Vinh menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias pada minit ke-22.

Bangkit dari kealpaan, anak buah Dollah Salleh sekali lagi bermain bola hantaran jauh terus kepada Inderaputra Mahyuddin yang tidak dikawal dan terus membuat hantaran lintang sebelum terkena kaki pertahanan Vietnam dan akhirnya tertampan ke gawang sendiri di minit ke-29, menjadikan Malaysia kembali selesa di hadapan dengan 3-1.

Ketika separuh babak pertama hampir tamat, Harimau Malaya terus melangkah jauh meninggalkan tuan rumah 4-1 apabila Sukor Adan bijak menanduk bola hantaran Fadzli Shaz di minit ke-43, sekaligus menewaskan penjaga gol Vietnam.

Babak kedua bermula, Malaysia yang kelihatan selesa mula mengendurkan permainan, menyebabkan tuan mengambil peluang menyusun serangan bertali arus ke kubu negara.

Perlawanan banyak berlegar di ruang Malaysia yang kelihatan kepenatan dan hanya bermain secara bertahan.

Asakan bertalu-talu membuahkan hasil buat tuan rumah apabila Le Cong Vinh sekali lagi bijak mencuri bola yang gagal dikawal kemas oleh Sukor Adan di kawasan kotak penalti, sekaligus merembat deras menewaskan Farizal di minit ke-79, menjadikan kedudukan 4-2.

Kedudukan 4-2 terus kekal hingga ke penghujung perlawanan walaupun tuan rumah menguasai sepenuhnya perlawanan.

Malaysia akan bertemu Thailand di perlawanan akhir dan pusingan pertama akan berlangsung 17 Disember ini di Stadium Rajamangala, Bangkok.-WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.