Header Ads

Bangkai pesawat MH17 selamat tiba

Konvoi pertama trak yang membawa serpihan pesawat MH17 telah pun tiba di Belanda selepas melepasi sempadan Jerman-Belanda di Oldenzaal pada Selasa, 9 Disember 2014 (malam waktu tempatan).

Serpihan pesawat itu diangkut bagi menjalankan siasatan berkaitan nahas yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai 2014 lalu.

Polis Jerman mengawal dan mengiring empat trak ke kawasan sempadan, sebelum pegawai Belanda mengambil alih. Sementara konvoi kedua dari empat trak lagi masih dalam perjalanan dan ia berlanjutan sehingga subuh.


"Trak dijangka meneruskan perjalanan. Mereka akan tiba di Gilze-Rijen tiga jam kemudian," demikian jelas wartawan Menno Reemeijer, seperti dipetik dari NL Times, hari ini.

Reemeijer menjelaskan, tiada upacara sambutan di pangkalan udara Belanda.

Konvoi trak yang mengandungi beberapa serpihan pesawat nahas MH17 bertolak dari Ukraine pada Rabu, 24 November. Lapan trak yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu telah menempuhi perjalanan dari Ukraine ke Belanda hampir dua minggu lebih.

Di Gilze-Rijen, Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) akan melakukan usaha membina semula serpihan bangkai pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 yang meletup kerana ditembak jatuh di Ukraine.
Dikuasakan oleh Blogger.