Header Ads

Curiga ketelusan 1MDB, pemimpin Umno buat laporan polis

Khairuddin buat laporan kecurigaannya terhadap 1MDB di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.
Seorang pemimpin bahagian Umno membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), firma pelaburan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dari Umno bahagian Batu Kawan membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi petang semalam.

Bercakap kepada pemberita, Khairuddin berkata beliau berasa curiga dan ragu-ragu dengan pengurusan kewangan 1MDB yang didakwanya tidak telus.

1MDB menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk Pakatan Rakyat, yang menyifatkan 1MDB sebagai "ibu segala skandal" dan juga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengkritik keras badan pengurusan dana tersebut.

Laporan itu dibuat ke atas 1MDB dan lembaga pengarahnya.

Khairuddin juga memberi amaran bahawa beliau akan membuat laporan ke atas Najib sebagai menteri kewangan sekiranya tiada tindakan susulan diambil ke atas laporannya.

Sementara itu, dalam emel kepada Malaysiakini kemudian, 1MDB berkata ia yakin laporan polis itu tidak mempunyai asas perundangan.

Menurut emel itu lagi, pihaknya mengalu-alukan sebarang penyiasatan terhadap urusannya dan sebagai peluang untuk menangkis dakwaan jahat.

malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.