Header Ads

Dengar dan taat elemen penting elak perpecahan

Ahli PAS di semua peringkat termasuk pimpinan merupakan teras kepada jemaah itu yang akan mencorakkan perjalanan dakwah dan sebuah parti politik Islam bagi menegakkan dasarnya memartabatkan Islam di bumi Malaysia khasnya.

Oleh itu segenap ahli tidak dapat lari daripada ruang lingkup disiplin sebagai ahli kepada sebuah gerakan parti politik dan dakwah bagi menentukan kekuatan dan kemenangan PAS.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah menggariskan dua elemen penting yang menjadi tonggak kepada sumber kekuatan organisasi PAS iaitu 'Dengar dan Taat'

Menurut Dr Khairuddin, 'assam'u wa tha'ah' (dengar dan taat) merupakan asas kejayaan untuk membawa risalah perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Bahkan, katanya kegagalan untuk merealisasikan elemen tersebut menyebabkan ahli PAS terdedah kepada perpecahan yang dicela dan tegah oleh agama.

Dengar dan taat adalah satu rukun penting dalam organisasi gerakan Islam sebagaimana Nabi s.a.w. menuntut baiah para sahabat dari Yathrib sebelum hijrah sepertimana diriwayatkan oleh Ubadah bin Somit: "Kami baiah Nabi s.a.w untuk dengar dan taat ktka sukar dan senang ketika cergas dan keadaan tidak suka".

"Kerosakan sebuah organisasi gerakan Islam apabila ketua yang mempunyai hak ditaati pada hukum syarak dalam perkara makruf dipertikai, dikecam, dicerca dan dimaki.

"Kata Abu Darda' permulaan sifat nifak seseorang ialah mengecam ketua," tegas beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Jelasnya, walak ditagih kerana Nabi s.a.w. menagih walak untuk dengar dan taat dalam peristiwa baiah orang-orang Yathrib di Mina sebelum berhijrah ke Madinah.

"Ditagih dan dituntut, maka menjadi kewajipan kepada ahli-ahli mentaati ketua dan apabila keengkaran mereka dituntut untuk kembali dengar dan taat apabila berlaku keengkaran," ujarnya.
Dikuasakan oleh Blogger.