Final AFF Suzuki Cup 2014: Malaysia tewas aksi pertama
![]() |
Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam. |
Aksi babak separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermain seimbang dengan asakan ke arah kubu lawan masing-masing.
Anak buah Dollah Salleh bermula garang namun gagal memanfaatkan dua peluang ketika hanya berdepan penjaga gol tuan rumah.
Thailand juga tidak ketinggalan mempunyai peluang keemasan untuk berada di hadapan, namun penjaga gol Harimau Malaya berjaya mematahkan percubaan Mongkol Thosakrai.
Babak kedua bermula, pasukan tuan rumah terus mengasak pintu gol Malaysia. Kawalan bola cantik daripada pemain Thailand memudahkan skuad gajah perang itu menyelinap ke kubu negara.
![]() |
Charyl Chappuis menjaringkan gol pertama tuan rumah 1-0 melalui sepakan penalti di babak kedua perlawanan. |
Charyl Chappuis berjaya menyempurnakan tendangan penalti menewaskan Farizal Marlias di minit ke-71.
Pemain Malaysia kelihatan tertekan apabila dilihat mula bermain secara melulu dan kawalan bola mudah dipatahkan lawan.
Kealpaan benteng pertahanan negara sekali lagi dihukum oleh barisan penyerang Thailand yang kelihatan semakin bernafsu mencari gol selesa di laman sendiri bagi membawa bekal dalam perlawanan kedua di tempat lawan.
Kombinasi menarik Kroekrit Thawikan yang bijak melakukan penyudah hasil hantaran Chanathip Songkrasin di minit ke-85 menjadikan keputusan Thailand selesa di depan dengan 2-0.
Malaysia berpeluang merapatkan jurang melalui tandukan Inderaputra Mahyuddin di penghujung perlawanan namun penjaga gol Thailand berjaya menepis keluar di penjuru atas gawangnya.
Aksi final masih lagi berbaki 90 minit dalan perlawanan kedua yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember nanti.
Malaysia harus mencari dua gol bagi menyamakan kedudukan sebelum memberi peluang cerah untuk merangkul kejuaraan.
Post a Comment