Header Ads

Pasport Alvin dan Ali dibatalkan serta merta

Pasport penulis blog kontroversi Alvin Tan dan aktivis Ali Abdul Jalil ditarik balik serta merta, kata ketua pengarah imigresen Mustafa Ibrahim.

Mustafa berkata, Imigresen akan menghantar surat pemberitahuan kepada Alvin dan Ali yang pasport mereka telah dibatalkan, ke alamat mereka di Malaysia, secepat mungkin atau selewat-lewatnya esok (hari ini).

"Kami telah menyenarai hitam Alvin dalam sistem kami dan akan menyenaraihitamkan Ali secepat mungkin. Surat akan dihantar kepada mereka," katanya dalam satu sidang akhbar semalam.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan itu sebagai amaran terhadap mereka yang menghina mahkamah, Islam dan raja-raja.

Mustafa berkata tindakan itu (penarikan pasport) satu amaran kepada semua bahawa jabatannya tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang menghina mahkamah, Islam dan Raja-raja.

"Tindakan ini bukan hanya pada Tan dan Ali tetapi kepada semua," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan penarikan pasport Tan dan Ali merupakan kes pertama dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia. 

Alvin Tan atau nama sebenarnya, Tan Jye Yee melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan. 

Pada 18 Julai 2013, Tan dan teman wanitanya, Vivian Lee, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan di laman Facebook.

Susulan itu, pada 22 Ogos lepas, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap selepas Tan gagal hadir bagi sebutan kesnya.

Tan baru-baru ini dipercayai memuat naik kenyataan yang mempersendakan institusi beraja melalui Facebooknya yang mendakwa sultan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dan menarik balik gelaran kebesaran daripada mana-mana pihak.

Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik. Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya.

Mustafa berkata sekiranya Tan dan Ali yang kini berada di luar negara ingin pulang ke Malaysia, mereka perlu mendapatkan Sijil Perakuan Cemas (EC) di kedutaan Malaysia agar boleh kembali ke Malaysia secara sah. 

EC adalah untuk sekali perjalanan serta perlu diserah balik, katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa memiliki PMA bukanlah suatu hak, sebaliknya hanya satu keistimewaan yang diberi kepada warganegara Malaysia untuk membolehkan mereka melakukan perjalanan ke luar negara.

"Pasport bukan diberi kepada semua orang sebaliknya ia hanya satu keistimewaan membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara.

"Tertera dalam pasport bahawa pasport adalah hak milik kerajaan Malaysia dan ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa," katanya.

Mustafa berkata tanpa PMA, Tan dan Ali boleh dianggap pendatang asing tanpa izin, namun terpulang kepada negara berkenaan untuk mentakrifkan mereka. 

"Mereka boleh ditahan di luar negara sebagai pendatang asing tanpa izin dan boleh dihantar balik ke Malaysia. Kami akan menerima mereka sebagai rakyat Malaysia kerana warganegara mereka tidak gugur," katanya.

Mustafa berkata Tan dan Ali boleh membuat rayuan berhubung penarikan balik pasport antarabangsa mereka dan akan dipertimbangkan mengikut kes.

"Kalau mereka layak, kami boleh beri (balik pasport). Kalau mereka tidak layak dan disenaraihitamkan, kami akan nyatakan," katanya.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.