Header Ads

Perdana Menteri Haiti letak jawatan

Perdana Menteri Haiti Laurent Lamothe, telah mengumumkan perletakkan jawatannya semalam, susulan desakan agar beliau meletakkan jawatannya ketika gelombang tunjuk perasaan anti kerajaan serta krisis politik di negeri Caribbean yang miskin itu meruncing.

Pengunduran Lamothe itu telah dijangka banyak pihak selepas Presiden Michel Martelly berkata pada Jumaat bahawa Perdana Menteri bersedia meletakkan jawatannya "bagi membantu mencari penyelesaian" kebuntuan politik negera itu.

Haiti gagal mengadakan pilihanraya parlimen dalam tiga tahun terakhir ini.

"Jika ini yang perlu dilalui bagi menyelesaikan krisis politik, saya membuat keputusan malam ini (Ahad) bagi menyampaikan kepada Presiden Martelly pengunduran diri saya sebagai ketua kerajaan, bersama-sama pengunduran diri kesemua menteri," kata Lamothe dalam ucapannya yang disiarkan dalam bahasa Kreol.

Lamothe, yang berundur ketika kemuncak tunjuk perasaan yang disertai tindakan kekerasan bagi menentang golongan elit pemerintah.

Beliau mengatakan kerajaan yang dipimpinnya berjaya mengurangkan kemiskinan dalam masa tiga tahun serta menurunkan angka jenayah hingga 50 peratus.

"Saya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada malam ini dengan perasaan bahawa (kami) telah melakukan banyak pencapaian," kata Lamothe dalam ucapan itu, seperti yang disebarkan melalui akaun rasmi Twitter kementerian komunikasi Haiti.

Haiti telah dilanda krisis politik selama tiga tahun kerana gagal mengadakan pilihanraya umum perbandaran dan perundangan.

"Saya melihat beliau mengambil langkah tersebut bagi membantu Haiti mencari penyelesaian dalam krisis ini. Saya memuji keberanian dan tekadnya dalam membantu Haiti," kata Martelly seperti yang dilaporkan oleh agensi berita AFP.

Jika pilihanraya tidak dapat dilangsungkan sebelum 12 Januari, badan perundangan secara automatik akan dibubarkan dan Martelly boleh menggunakan kuasanya bagi mengeluarkan perintah.
Dikuasakan oleh Blogger.