Header Ads

Piala AFF Suzuki 2014: Malaysia menang, Thailand juara

Skuad kebangsaan menang 3-2 ke atas Thailand dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi yang berlangsung awal malam tadi.

Namun Thailand tetap dinobatkan sebagai juara selepas menang dengan agregat 4-3 kerana skuad Gajah Perang itu telah membawa bekalan selesa 2-0, kemenangan yang dicatat dalam perlawanan final pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 17 Disember lalu.

Padahal skuad Harimau Malaya mampu melakarkan kejayaan untuk menjuarai Piala AFF, namun konsentrasi pemain telah memusnahkan impian puluhan ribu peminat yang datang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil apabila anak buah Dollah Salleh gagal menyekat Thailand memburu gol kemenangan.

Ketika Malaysia sudah pun melangkah kanan apabila berjaya menghapuskan kelebihan dua gol Thailand, kemudian mendahului dengan kelebihan agregat satu gol, namun Thailand mengambil kesempatan kelalaian pemain negara dalam tempoh kurang 10 minit untuk memghancurkan impian merangkul kejuaraan.

Malaysia memperoleh gol pertama melalui sepakan penalti Syafiq Rahim pada awal babak pertama selepas Norshahrul Idlan (Mat Yo) dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Harimau Malaya yang turun dengan misi mustahil itu kelihatan tidak mempedulikan kelebihan dua gol Thailand apabila terus memburu gol kedua.

Dengan bantuan sokongan padu penyokong tuan rumah, Inderaputera Mahyuddin berjaya menanduk bola masuk menerjah jaring di penghujung babak pertama, sekaligus memadamkan kelebihan dua gol Thailand.

Babak kedua bermula, terkejut dengan kebangkitan Malaysia, Thailand mengatur langkah namun anak buah Dollah Salleh sekali lagi mendapat peluang apabila Syafiq sekali lagi menunjukkan skillnya menyempurnakan sepakan percuma yang cantik untuk kedudukan 3-0 Malaysia di depan.

Namun, ketika perlawanan berbaki lebih kurang 10 minit, Thailand yang tidak mudah berputus asa, terus menyusun langkah mengambil peluang di atas kelalaian pertahanan negara yang longgar untuk mencari gol.

Akhirnya, Charyl Chappuis yang bijak merembat masuk bola muntah Farizal Marlias yang gagal menangkap kemas tendangan percuma Thailand.

Selang lima minit, Chanathip Songkrasin terus menghukum pertahanan negara yang tempang, gagal menyekat serangan pelawat, sekaligus memberi kemenangan mutlak buat Thailand untuk merangkul kejuaraan kali keempat mereka dalan kejohanan Piala Aff.

Namun usaha anak buah Dollah Salleh harus dipuji apabila turun dengan misi mustahil untuk meruntuhkan ego Thailand yang pada awalnya berkelebihan dua jaringan dirangkul di Bangkok.

Malaysia tidak pulang kosong apabila pemain 'arkitek' negara Syafiq Rahim telah dianugerahkan penjaring terbanyak kejohanan.
Dikuasakan oleh Blogger.