Header Ads

Van Persie bantu Man United naik tangga ketiga liga

Dua gol dari Robin van Persie cukup untuk membantu Manchester United (MU) naik tangga ketiga kedudukan sementara Premier League (EPL) selepas berjaya menewaskan Southampton 2-1 di Stadium St. Mary's Stadium, awal pagi tadi.

Awal perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat bermain berhati-hati dengan tempo perlahan. Kemudian, Southampton kelihatan lebih banyak menguasai perlawanan dengan memberi banyak tekanan kepada 'Red Devil' dengan beberapa kali melakukan serangan dari sebelah kanan pertahanan MU.

Walau bagaimanapun, MU terlebih dahulu mendapat gol awal hasil jaringan Robin van Persie yang berpunca daripada kesilapan pertahanan Southampton, Fonte yang cuba memberikan 'backpass' kepada penjaga gol Fraser Forster. Van Persie kemudian dengan cepat mencuri bola tersebut sebelum dengan tenang, penyerang asal dari Belanda itu menjaringkan bola di penjuru kiri gawang Southampton di minit ke-12.

Terkejut jaringan awal MU, anak buah Ronald Koeman tidak berputus asa dengan melakukan serangan bertali arus sepanjang babak pertama apabila benteng pertahanan MU kelihatan agak goyah.

Usaha pemain Southampton akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-31 apabila Graziano Pelle berjaya mencatatkan namanya selaku penjaring tuan rumah bagi menyamakan kedudukan 1-1.

Babak kedua bermula, Kekentalan benteng tuan rumah gagal ditembusi MU. Beberapa serangan Wayne Rooney dan rakan-rakan berjaya dipatahkan dengan mudah dipatahkan oleh pertahanan Southampton.

Sementara tuan rumah mampu mencipta beberapa peluang keemasan untuk berada di hadapan namun MU bernasib baik selepas penjaga golnya, David De Gea menampilkan persembahan cemerlang menyekat serangan bertali arus pasukan lawan.

Walaupun jarang mendapat peluang, MU akhirnya berjaya kembali di hadapan pada minit ke-71 apabila Van Persie menjaringkan gol keduanya selepas menerima umpanan tendangan bebas Rooney, menjadikan kedudukan 2-1.

MU mengutip 28 mata daripada 15 perlawanan, kurang lima mata berbanding Manchester City di kedudukan kedua. Sementara Southampton turun tangga kelima dengan memungut 26 mata.
Dikuasakan oleh Blogger.