Header Ads

Windows 10 akan dilancarkan suku tahun kedua 2015

Microsoft Corp menjangkakan sistem operasi terbarunya, Windows 10, bakal memasuki pasaran menjelang suku tahun kedua 2015, lebih lewat daripada jangkaan sebelum ini, lapor Reuters.

Ketua Pegawai Operasi Kevin Turner berkata kepada Nikkei Jepun, Rabu waktu tempatan, bahawa sistem operasi terbaru ini akan dikeluarkan awal musim luruh tahun depan.

Namun Microsoft tidak mendedahkan masa sebenar bagi pelancaran Windows 10, sedangkan minggu lalu mengumumkan akan melancarkannya secepat yang mungkin.

"Sehingga akhir musim panas (Februari) depan dan awal musim luruh (Mac), kami akan mengeluarkan OS istimewa ini. Itulah perancangan yang boleh dinyatakan," kata Turner dalam Persidangan Teknologi Credit Suisse minggu lalu.

Pelancaran Windows 10 bakal mengubah tanggapan negatif pengguna terhadap Windows 8 yang telah pun dilancarkan tiga tahun lepas. Windows 8 dianggap tidak mesra dan mengelirukan pengguna PC tradisinya kerana Windows 8 lebih sesuai bagi tablet.

Microsoft mendedahkan nama Windows 10 akhir September lalu, sambil memberitahu daripada nombor 8 terus langkau kepada 10 memberi tanda lonjakan kerana OS ini akan menggabungkan semua operasi bagi tablet, telefon bimbit dan komputer biasa.

Dengan Windows 10, pihak Microsoft akan memfokuskan kepada satu keluarga produk dibawah satu platform, dan menggunakan satu kedai aplikasi yang sama. Menurut Microsoft, Windows 10 akan menyokong saiz skrin dari 4-inci sehinggalah 80-inci- dan akan turut menggantikan Windows Phone selepas ini.

Windows 10 dilihat akan membawakan pelbagai perubahan baru jikalau dibandingkan dengan Windows 8.1 sebelum ini. Antaranya termasuklah sokongan menu Start yang diintegrasikan dengan Live Tiles, lebih fokus terhadap pengguna desktop, kebolehan menjalankan aplikasi ModernUI dengan tetingkapnya tersendiri, serta sokongan desktop maya.

Selain pengguna desktop, pihak Microsoft turut mengekalkan ciri-ciri mesra sentuh, seperti sokongan Charm Bar, dan paparan saiz butang yang lebih besar untuk pengguna skrin sentuh. Terdapat mod khusus yang berubah mengikut penggunaan jenis peranti – sama ada menyokong skrin sentuh ataupun sebaliknya.

Pihak Microsoft turut menekankan yang mana Windows 10 akan selari dengan pelbagai perisian perusahaan tradisional, sekaligus memudahkan mereka untuk beralih ke sistem operasi baru tanpa risau akan ketidak-serasian.

Versi percubaan bagi Windows 10, dengan gabungan paparan dan menu dengan menampilkan banyak ciri baru, telah pun boleh didapatinya dan boleh dimuat turun dari laman Microsoft sejak dua bulan lalu.

Windows masih menjadi sebahagian teras kepada perniagaan Microsoft dan mendominasi pasaran pengkomputeran desktop dengan 1.5 bilion pengguna.

Namun pertumbuhan telefon pintar dan tablet membuatkan Windows kini hanya menguasai kira-kira 14 peratus peranti pengkomputeran di seluruh dunia, kata firma penyelidikan teknologi Gartner.
Dikuasakan oleh Blogger.