Header Ads

Kubur Ratu Mesir berusia 4500 tahun ditemui

Ahli arkeologi Republik Czech berjaya menemui makam seorang ratu dipercayai isteri kepada Firaun Neferefre yang memerintah 4500 tahun yang lalu, beritahu pegawai berkenaan di Mesir, seperti dilaporkan The Guardian kelmarin.

Kubur berkenaan ditemui di Abu Sir, pusat kerajaan lama Mesir di kawasan perkuburan barat daya Kaherah di mana terdapat beberapa piramid khusus untuk firaun Dinasti Kelima, termasuk Neferefre.

Nama isterinya tidak pernah diketahui sebelum penemuan itu, kata Menteri Antikuiti Mesir, Mamdouh al-Damaty dalam satu kenyataan.

Katanya, ia dikenal pasti sebagai Khentakawess sambil memberitahu nama ratu itu pertama kali diketahui apabila penemuan kubur berkenaan.

Ini akan menjadikan dia Khentakawess III, seperti dua ratu terdahulu dengan nama yang sama yang telah pun dikenal pasti.

Nama dan statusnya telah tercatat pada dinding bahagian dalam kubur, mungkin dicatat oleh pembina, kata Damaty.

"Penemuan ini akan membantu kita dalam penerangan tentang aspek-aspek tertentu yang tidak diketahui pada Dinasti Kelima, yang bersama-sama dengan Dinasti Keempat, menyaksikan pembinaan piramid pertama," katanya.

Miroslav Barta, yang mengetuai Czech Institute of Egyptology dalam misi penemuan itu berkata, kubur itu telah ditemui di kompleks pemakaman Neferefre.

"Ia membuat kita percaya ratu itu permaisurinya," kata Barta dalam kenyataan itu.

Seorang pegawai di kementerian antikuiti berkata, kubur itu bertarikh pada pertengahan Dinasti Kelima (2994-2345 Sebelum Masihi).

Ahli arkeologi turut menemui kira-kira 30 perkakas dapur, 24 diperbuat daripada batu kapur dan empat daripada tembaga, katanya dalam kenyataan itu.
Dikuasakan oleh Blogger.