Header Ads

'Remaja 100 tahun' meninggal pada usia 17 tahun

Walaupun usianya masih remaja, namun kerana mengalami penyakit genetik progeria yang jarang berlaku, seorang gadis berusia 17 tahun kelihatan 8 kali lebih tua dari usia sebenarnya.

Hayley Okines, gadis yang berasal dari Bexhill, Sussex Timur, Britain dikenali sebagai 'remaja berusia 100 tahun' itu telah pun meninggal dunia ketika usia 17 tahun, seperti dipetik dari BBC, kelmarin.

Menurut BBC, berita kematian gadis berkenaan diumumkan oleh ibunya, Kerry pada Khamis.

"Ia menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam pelukan saya pada jam 9.39 (malam)," tulis ibunya.

Menurut bapa mendiang, Mark, sebelum meninggal, Hayley menerima rawatan akibat pneumonia di hospital namun anaknya itu sempat pulang sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

"Ia sempat pulang satu jam, melihat anak-anak anjing, adik lelakinya Louie dan adik perempuannya, Ruby," kata Mark.

"Saya merasakan dia ingin pulang untuk mengucapkan selamat tinggal, seolah-olah dia tahu itu adalah yang terakhirnya."

Hayley Okines bukan sahaja dikenali kerana keadaannya yang tidak normal, tetapi sebagai seorang aktivis yang aktif berkempen untuk meningkatkan kesedaran berkaitan progeria.

Pada usia 14 tahun, Hayley telah pun menerbitkan autobiografinya bagi mendedahkan kesulitan yang dihadapinya dan keadaannya yang tidak suka ke sekolah kerana progeria membuat penampilan dirinya mirip nenek berusia 100 tahun.

Doktor pernah meramalkan gadis berkenaan hanya dapat bertahan sehingga 13 tahaun sahaja, namun beliau dapat bertahan sehingga 17 tahun.

Hutchinson-Gilford Progeria Syndrome merupakan situasi sindrom yang dialami Hayley, menyebabkan proses penuaan dirinya berlaku lebih cepat daripada kanak-kanak normal.

Kanak-kanak yang mengalami sindrom progeria juga turut mengalami masalah jantung, pertumbuhan yang lambat, dan kehilangan lemak dalam badan dan rambut.
Dikuasakan oleh Blogger.