Header Ads

[GAMBAR] Kren runtuh di Masjidil Haram: 107 terbunuh, 238 tercedera termasuk 6 rakyat Malaysia

Sekurang-kurangnya 107 orang terbunuh selepas tragedi kren runtuh di Masjidil Haram, yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan (Mekah), kurang dua minggu sebelum jemaah seluruh dunia memulakan rukun Islam yang kelima itu.

Selain itu, 238 orang telah tercedera dalam tragedi pada Jumaat itu, menurut Lembaga Pertahanan Awam Arab Saudi.

Saudi Press Agency memetik seorang jurucakap bagi kedua-dua masjid haram sebagai berkata, kren tersebut runtuh kerana angin kencang dan hujan lebat.

Gambar yang tersebar di media sosial kelihatan para jemaah sedang berlumuran darah dan runtuhan dari bahagian kren yang kelihatan telah terhempas menerusi siling.

"Semua mereka yang mengalami kecederaan dan yang terbunuh telah dibawa ke hospital. Tiada mangsa dilapor ditinggalkan di lokasi kejadian," Ketua Suleiman al-Amr, Ketua Pengarah Lembaga Pertahanan Awam, memberitahu televisyen al-Ikhbariya.

Beliau berkata angin kencang dan hujan lebat menyebabkan pokok tumbang dan telah menggegarkan kren di kawasan itu.

"Kren tersebut runtuh berhampiran dengan pintu al-Salam di bahagian atas kawasan al-Masaa (terletaknya bangunan Sa`ie), yang mengakibatkan runtuhnya sebahagian kecil daripada al-Masaa dan bahagian yang lain dari al-Mataf, kawasan jambatan di sekeliling Kaabah," tambah Amr kepada televisyen kerajaan Saudi.

Menurut kenyataan seorang jurucakap pentadbiran masjid-masjid di Mekah dan Madinah berkata, kren berkenaan tumbang di bahagian Masjidil Haram di mana jemaah sedang tawaf di Kaabah.

Jemaah Malaysia

Menurut Tabung Haji (TH), setakat ini disahkan enam jemaah Malaysia telah cedera dalam insiden berkenaan. Turut dilaporkan, pasukan dari TH yang terdiri dari pasukan perubatan, kebajikan dan unit peronda sedang berada di kawasan kejadian bagi memantau dan menyelia keadaan jemaah Malaysia.

Jawatankuasa Siasatan

Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat punca tragedi keruntuhan kren di Masjidil Haram di Makkah itu dan mereka telah memulakan tugasnya pada malam itu juga.

Dr. Hisham al-Faleh, penasihat kepada Emir Makkah, berkata jawatankuasa berkenaan melawat tapak tragedi itu dan mengadakan mesyuarat pertamanya selepas tengah malam pada hari Jumaat.

Ia mengkaji laporan awal daripada semua pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Kontraktor projek itu turut telah diarah untuk memeriksa semua kren di tapak pembinaan yang berada di bawah pengawasan pasukan teknikal.

Petir

Satu imej dari kamera telefon bimbit telah beredar di laman media sosial telah menunjukkan kren bersebelahan dengan masjid telah dipanah petir dan pihak berkuasa berkata bahawa angin di kawasan berkenaan bertiup kencang sehingga 83 km/ j.
Dikuasakan oleh Blogger.