Header Ads

Piala Malaysia: Kelantan belasah Selangor, Juara Liga Super benam Perak 2-0

Pemain pasukan Kelantan Gilmar Jose Da Silva (dua, kanan) menjaringkan gol ketiga pasukannya pada perlawanan Kumpulan C TM Piala Malaysia 2015 antara Selangor dengan Kelantan di Stadium Shah Alam malam tadi. - Foto Bernama.
Dalam aksi Kumpulan C, Kelantan beraksi cemerlang apabila menumpaskan Selangor 3-0 di Stadium Shah Alam pada saingan Piala Malaysia 2015, malam tadi.

Tiga gol skuad 'The Red Warriors' dijaringkan oleh penyerang import dari Brazil, Gilmar Da Silva pada minit ke-26 dan ke-53, manakala satu gol lagi menerusi pemain import dari Nigeria, Austin Amutu pada minit ke-49.

Sementara itu, pasukan kelab Liga Super, Felda United FC (FUFC) turut melakar kemenangan 3-0 ke atas T-Team di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam satu lagi aksi Kumpulan C.

Pemain import dari Australia, Ndumba Makeche meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-35 sebelum Indra Putra Mahayuddin menggandakan jaringan melalui sepakan penalti tiga minit kemudian.

Makeche melebarkan jurang gol apabila menyumbat masuk gol kedua peribadinya pada minit ke-70 untuk memberikan kemenangan 3-0 kepada skuad 'The Settlers'.

Manakala ‎saingan Kumpulan A ‎pada saingan Piala Malaysia 2015, keempat-empat pasukan berkongsi satu mata apabila kedua-dua perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri.

Juara Piala FA 2015, Lions XII gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan juara Liga Perdana 2015, Kedah di Stadium Jalan Besar.

Skuad 'Helang Merah', bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Brazil, Sandro da Silva Mendonca pada minit ke-16 sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Shahdan Sulaiman, dua minit kemudian.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu yang turun tanpa dua tonggak import di barisan serangan, Paulo Rangel dan Issey Farran Nakajima akibat digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), gagal meraih tiga mata berharga di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Sarawak pula menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menang tipis 1-0 ke atas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Negeri, menerusi jaringan tunggal Joseph Kalang Tie pada minit ke-90.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B semalam, naib juara Piala Malaysia tahun lepas, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan Mohd Safee Sali pada minit ke-17 dan S.Chanturu pada minit ke-21.

Skuad Harimau Selatan mendahului Kumpulan B dengan kelebihan jaringan berbanding Sarawak. -Bernama

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.