Header Ads

Pramugari digantung kerana enggan hidang arak

Charee Stanley (tengah)
Seorang pramugari sebuah syarikat penerbangan Amerika Syarikat, ExpressJet Airlines yang telah memeluk Islam bulan lepas telah memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Sama Rata Pekerja (EEO), Amerika Syarikat, mendakwa bahawa penggantungan beliau daripada tugas kerana enggan menghidang hidangan arak dalam penerbangan majikannya adalah bertentangan dengan kepercayaan agama yang dianutinya.

Menurut CBS Detroit, pramugari Charee Stanley, telah mendapat sokongan Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR) cawangan Michigan.

Menurut peguam daripada CAIR, Lena Masri, Stanley yang sudah tiga tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan berkenaan tidak melanggar arahan majikannya apabila mengatur dengan rakan sekerja untuk mengendalikan pesanan minuman beralkohol itu.

Dalam sebuah sidang media, Masri berkata, "Kami dimaklumkan ExpressJet Airlines bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk meraikan kepercayaan agama Stanley. Namun sebaliknya, ExpressJet bertindak melanggar hak perundangan Stanley dengan menggantung tugas beliau selama 12 bulan dan mungkin selepas itu pihak majikan bertindak menamatkan tugasnya. "

Selain mendakwa bahawa persefahaman anak guamnya bersama-sama pramugari lain untuk menghidang meminum arak adalah suatu tindakan yang betul, Masri berkata, persengketaan yang sebenar dalam kes berkenaan bukanlah berkaitan kontroversi hidangan arak, tapi "aduan Islamofobia" yang dilaporkan oleh rakan sekerjanya, merujuk kepada tudung yang dipakai oleh Stanley.

Namun syarikat penerbangan yang berpangkalan di Georgia itu enggan mengulas mengenai kes berkenaan selain hanya mengeluarkan satu kenyataan ringkas, "Di ExpressJet, kami menerima dan menghormati nilai-nilai hak kesemua staf sebagai pasukan kami. Kami adalah sebuah majikan yang memberi peluang saksama terhadap kepelbagaian semua pekerja."

Sehubungan itu, Charee telah memfailkan aduan mengenai tindakan majikannya yang disifatkan mengamalkan diskriminasi dan akan mengambil tindakan undang-undang mengenai perkara itu.

Charee tidak mahu menghidangkan arak selepas menganut agama Islam kerana beliau dapati agama yang dianutinya itu melarang sebarang jenis penjualan serta pembelian minuman memabukkan itu termasuklah individu yang menghidangkannya.
Dikuasakan oleh Blogger.