Header Ads

[VIDEO] Ribut pasir landa Jeddah semalam

Satu kejadian ribut pasir besar melanda sebahagian besar kawasan Timur Tengah pada Selasa (semalam) menyebabkan Jeddah berada dalam kegelapan pada 6.00 petang (waktu tempatan).

Menurut portal berita tempatan, ribut itu berlaku selama 40 minit dalam keadaan angin yang menerbangkan pasir-pasir sehingga kedengaran seperti bunyi tingkap rumah diketuk seseorang.

Kenyataan ringkas seorang pegawai kanan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, Abdul Hameed Abal-Ari kepada media tempatan berkata, "Penerbangan tiba (terpaksa) dilencongkan ke lapangan terbang berhampiran, manakala beberapa penerbangan terpaksa ditunda."

Beliau berkata tujuh penerbangan telah dilencongkan ke Madinah, Yanbu dan Taif. "(pada) 7:00 petang (waktu tempatan), keadaan kembali normal," katanya.

"Semuanya berlaku dalam masa beberapa minit," kata Sadiya Haneef, seorang penduduk dari kawasan al-Sulaimaniya.

"Saya dapat melihat dari balkoni saya (seperti) cendawan tumbuh di kaki langit. Saya menyangka ia adalah asap mengepul dari sebuah kawasan yang jauh, "katanya.

Situasi di penempatan lain turut berlaku kejadian buruk berkenaan.

"Ibu saya melihat awan gelap yang memaksa kakak saya tidak menghadiri kelas petangnya," kata seorang budak lelaki berusia 13 tahun, Mohammed Tareq.

"Dalam beberapa minit, semuanya (keadaan) berjerebu di daerah al-Aziziyah dan keadaan menjadi kabur. Ia adalah salah satu keadaan yang paling pelik pernah saya alami. Ia amat dahsyat."

Pasukan Pertahanan Awam menerima panggilan kecemasan daripada penduduk yang ingin tahu apa yang berlaku.

Ali Al-Masry, pekerja sektor swasta, kecewa kerana kejadian itu tidak diberi amaran terlebih dahulu.

"Saya mempunyai seorang anak yang menghidap asma dan keadaan itu memberi kesan kepada kesihatannya," katanya.

"Jika saya tahu (lebih awal), saya akan mengambil langkah berjaga-jaga yang mencukupi. Sekarang saya perlu membawanya ke hospital untuk (rawatan) nebulization."

Sebelum itu, ribut pasir yang melanda bahagian Timur Tengah menyebabkan sekurang-kurangnya dua wanita terkorban di Lubnan dan beratus-ratus yang mengalami masalah pernafasan.

Sebahagian besar Lubnan, Syria, Israel dan Cyprus telah diselubungi awan tebal yang berdebu kerana ribut yang melanda rantau itu pada Isnin.

Video kejadian ribut pasir di Jeddah pada 8 September 2015


Dikuasakan oleh Blogger.