Header Ads

[VIDEO] Malaysia tewas lagi, penyokong 'isytihar perang' terhadap FAM

Aksi saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam tadi telah dicemari insiden membakar suar dan membaling mercun roket ke dalam padang.

Pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong terpaksa menghentikan perlawanan di minit ke-88 berikutan tindakan melancarkan 'perang' ke arah padang oleh para penyokong tuan rumah yang didakwa telah dirancang lebih awal oleh pihak tertentu sebelum sepak mula.

Insiden berkenaan berlaku ketika pasukan pelawat Arab Saudi sedang mendahului perlawanan 2-1, namun keselamatan para pemain dan pegawai kedua-dua pasukan berada dalam keadaan membahayakan memaksa pegawai perlawanan meminta mereka memasuki bilik persalinan sebelum mengarahkan perlawanan dihentikan sehingga FIFA mengeluarkan keputusan perlawanan berkenaan.

Dalam perlawanan malam tadi, Harimau Malaya yang dilatih Ong Kim Swee, menggantikan Dollah Salleh yang meletak jawatan baru-baru ini, telah mendahului perlawanan 1-0 melalui Safiq Rahim pada minit ke-70.

Namun, selang dua minit selepas itu, Arab Saudi menyamakan kedudukan 1-1 melalui jaringan Taiseer al-Jasaam sebelum Mohammed al-Sahlawi meletakkan pasukan pelawat di hadapan 2-1 pada minit ke-76.

Peminat bolasepak tanahair begitu marah terhadap FAM.
Menjelang minit ke-88, suasana stadium menjadi gamat dengan insiden bakar suar oleh para penonton yang hadir. WarkahDaily tidak menolak kejadian berkenaan berlaku gara-gara kekecewaan peminat bolasepak tanahair terhadap kekalahan teruk Harimau Malaya kepada UAE tempoh hari dan reputasi buruk skuad senior kebangsaan itu selama ini.

Terdahulu, Dollah Salleh bertindak meletak jawatannya selaku jurulatih Harimau Malaya gara-gara aksi memalukan anak buahnya yang dibelasah teruk 10-0 oleh UAE pada 4 September lepas di Abu Dhabi. Berikutan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melantik Datuk Ong Kim Swee bagi mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Persatuan yang menguruskan bolasepak negara, FAM teruk dikritik para penyokong tanahair berikutan kekalahan memalukan dalam sejarah itu.

Tekanan yang kuat dari penyokong dan peminat bolasepak tempatan menyebabkan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilaporkan menyatakan kesediaannya untuk meletak jawatan sebagai presiden persatuan secara berperingkat.

Video Hightlights jaringan dalam perlawanan Malaysia vs Arab Saudi



Video para penyokong tempatan membakar suar dan melancarkan mercun roket


Dikuasakan oleh Blogger.