Header Ads

Jawatan PM kepada Melayu sekadar 'umpan' DAP?

Jaminan DAP konon akan mengekalkan kaum Melayu sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya.

Lim Kit Siang turut mendakwa jaminan kuasa politik Melayu tidak akan terancam jika DAP dan parti-parti pembangkang mentadbir negara ini.

“Kuasa politik kaum Melayu tidak akan terancam kerana Perdana Menteri baharu adalah Melayu.

“Gabungan baharu pembangkang akan dikuasai Melayu yang mencerminkan demografi Malaysia,” dakwanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Namun apa yang mendatangkan persoalan buat rakyat Malaysia ialah, apakah jaminan DAP tidak menjadikan Perdana Menteri Melayu itu sebagai bonekanya sahaja, sedangkan DAP akan bertindak di belakang tabir selaku 'master mind' yang akan mengawal kerajaan baru itu.

Sekadar manis di mulut

Pengundi bukan pernah lupa bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang 'bermanis mulut' konon mahu mencontohi Khalifah Omar Abdul Aziz selain bermuka-muka mengajak bukan Islam konon menghormati amalan orang Islam serta tidak akan mencampuri urusan dalam hal ehwal orang Islam termasuk pelaksanaan Hudud.

Semua itu bagi pengundi terutama kaum Melayu menganggap 'manis mulut' anak Kit Siang itu sekadar untuk memastikan undi DAP selamat dalam pilihanraya.

Buktinya, bagaimana PAS diugut dan 'ditendang' daripada Pakatan Rakyat (PR) selepas parti Islam itu cuba membawa "Private Bill" Rang Undang-Undang Syariah Hudud ke parlimen sebagai usaha untuk memantapkan lagi kanun jenayah Hudud yang sudah pun diluluskan pelaksanaannya di negeri Kelantan sejak dahulu lagi.

Namun kerana undi bukan Islam, DAP sanggup mengenepikan perjanjian bersama dalam PR yang sanggup meraikan perbezaan yang sedikit demi kebersamaan yang besar. Padahal sebelum perjanjian itu dibuat, DAP sudah maklum perjuangan dan dasar PAS sejak ditubuhkan lagi sehingga sekarang, tidak pernah berubah.

Tetapi kerana ego dan tidak mahu menerima perbezaan dalam kesatuan, DAP sanggup melanggar perjanjian dalam PR.

Boleh percayakah DAP

Jika sesama rakan dalam PR pun DAP sanggup khianati, apatah lagi 'janji kosong' yang diungkapkan dengan lidah yang tidak bertulang konon mahu mengekalkan Melayu sebagai Perdana Menteri jika pakatan mereka menang di Putrajaya.

Padahal sebenarnya DAP bersama parti baharu yang 'ditajanya', Parti Amanah Negara (PAN) cuba berlakon 'bermanis mulut' semata-mata mahu menarik pengundi Melayu untuk memberi sokongan kepada mereka dalam pilihanraya akan datang.

PAN adalah parti serpihan PAS selepas beberapa pemimpin kecewa yang tewas dalam pemilihan PAS bertindak mengkhianati PAS cuba menubuh parti baru bagi menyaingi PAS.

Melayu sekadar boneka

Tidak mustahil Melayu sekadar boneka buat DAP. Melayu belum lupa bagaiamana sejarah penjajah British 'bermanis mulut' berjanji mengekalkan takhta raja kepada Melayu. Tetapi dalam masa yang sama, British melatih 'tali barut' yang akan meneruskan penjajah terhadap tanah Melayu walaupun takhta dipegang oleh raja Melayu.

Bukankah penjajahan berbentuk penjajahan minda akan lebih teruk berbanding penjajah tanahair? Oleh itu, tidak salah bagi bangsa Melayu untuk berprasangka terhadap 'manis mulut' Kit Siang konon mahu mengekalkan jawatan Perdana Menteri kepada Melayu.

Kerana tidak mustahil Perdana Menterinya Melayu tetapi yang sebenarnya memerintah negara ini adalah DAP. Sedikit demi sedikit Melayu sekadar tertulis pada nama jalan raya dan nama bangunan sahaja.
Dikuasakan oleh Blogger.