Header Ads

Jerebu: Semua sekolah diarah tutup kecuali Kelantan, Labuan, Sabah dan Sarawak

Semua sekolah di seluruh negara diarah tutup selama dua hari, mulai esok, akibat keadaan jerebu yang semakin teruk.

Namun, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, penutupan itu tidak membabitkan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

“Sekolah-sekolah terbabit tidak perlu menggantikan persekolahan mereka akibat penutupan ini,” katanya dalam pengumuman menerusi akaun Twitternya hari ini.

Tambahnya, peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 bagaimanapun akan diteruskan mengikut jadual, dengan calon-calon akan dibantu serta diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berwajib, ketika jerebu melanda.

Jelasnya, sesi persekolahan petang pada hari ini, di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor akan berjalan seperti biasa.

Pengumuman berkenaan dibuat, susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara yang mencatat peningkatan, pada pagi tadi, dengan kawasan di sekitar Lembah Klang mencecah paras sangat tidak sihat.

Bacaan IPU di Shah Alam tertinggi di seluruh negara, pada jam 9 dan 10 pagi tadi, iaitu 308 yang merupakan paras berbahaya, sebelum ia turun sedikit kepada 299 sejam kemudian.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.